Pengundi luar bandar sering dianggap halangan utama pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya, ekoran persepsi mereka penyokong kuat kerajaan.
Malah mereka disifatkan tidak peduli masalah yang melanda negara seperti rasuah dan dakwaan salah laku pilihan raya, dan masih menjadikan media kerajaan sebagai sumber utama mendapatkan maklumat.
Semua ini mungkin benar suatu ketika dahulu, tetapi bagaimana dengan sekarang?
“Hanya kerana orang tidak bersuara, tidak bermakna mereka menerimanya,” kata pakar ekonomi tempatan Jomo Kwame Sundram dalam forum “Reformasi Sistem Pilihan Raya Sebelum PRU ke-14” anjuran Bersih 2.0 semalam.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanggapan itu salah kerana keadaan di luar bandar sudah banyak berubah.
“Saya di luar negara hampir 12 tahun. Satu perkara yang saya sedar selepas pulang, tidak pernah berlaku sebelum itu ramai orang terutama masyarakat Melayu yang bukan sahaja jijik, malah malu dengan kadar rasuah di negara ini,” kata Jomo.
Katanya, penduduk luar bandar menerima kesan langsung ekonomi termasuk kenaikan kos sara hidup
“Misalnya harga kelapa sawit tidak tinggi. Dua tahun lepas, ketika El Nino melanda, ia memberi kesan kepada bekalan air di sawah. Pesawah padi menerima kesan buruk,” katanya.
Peguam Syahredzan Johan pula berkata dengan peluasan jaringan Internet serta aplikasi telefon pintar seperti Whatsapp, ia meruntuhkan tembok pemisah antara penduduk bandar dan luar bandar dari segi capaian maklumat.
“Jangan buat silap dengan menganggap mereka di luar bandar tidak boleh mengakses maklumat,” katanya.
Beliau berkata mungkin pengundi luar bandar berbeza.
“Bagi kita mungkin 1MDB adalah isu paling penting, tetapi bagi mereka hal lain, misalnya soal pendapatan (bread and butter).”
Felda dan faktor Mahathir
Felda merupakan satu lagi kawasan luar bandar yang dianggap kubu kuat BN. Pada PRU ke-13, BN memenangi 54 daripada 60 kerusi Parlimen yang terletak di kawasan Felda.
Namun bagi Jomo, kawasan itu juga sedang mengalami perubahan sokongan atas faktor Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di pihak pembangkang.
“Jika anda ke Felda, dan Mahathir mengadakan program di sana, anda boleh jamin sekurang-kurangnya 5,000 akan hadir,” katanya kepada kira-kira 20 hadirin.
Beliau berkata peneroka Felda kini sedang berhadapan isu saham Felda Global Ventures (FGV) yang menurun, sesuatu yang dirasakannya tidak diambil berat orang ramai yang hanya fokus kepada isu 1MDB.
“Malangnya fokus kepada 1MDB telah mengalihkan perhatian kepada banyak lagi kes korupsi, antaranya saham FGV. Hampir tiada ahli politik yang bercakap tentangnya.”
Nilai saham FGV yang pernah mencecah RM5 seunit kini berada di paras kira-kira RM2.
“Rakyat Malaysia memang layak mendapat yang lebih baik, tetapi kita tidak boleh bermula dengan tanggapan orang luar bandar tidak peduli,” katanya.
Syahredzan pula berkata, pengundi luar bandar yang majoritinya Melayu sedia untuk berubah sokongan, tetapi merasakan pembangkang belum memainkan peranan sebagai alternatif kepada BN.
“Mereka merasakan BN sekurang-kurangnya sudah lama memerintah dan tahu apa yang perlu dilakukan, berbanding pakatan pembangkang yang menamakan calon perdana menteri pun tidak mampu,” katanya. – FMT