Oleh Wira rakyat
Akhbar arus perdana memainkan isu rusuhan selama beberapa hari di kota London dalam rencana editorial serta berita muka utama akhbar mereka, kononnya itulah akibat tunjuk perasaan yang tidak terkawal. Sambil mengingatkan apa yang dilakukan oleh polis Malaysia dalam menindas tunjuk perasaan aman amatlah wajar bagi mengawal keadaan, media pro BN membayangkan tindakan keras perlu terus-menerus dilakukan pada masa hadapan.
Namun, persoalan yang lebih besar sepatutnya ditonjolkan oleh media ialah betapa bertamadunnya rakyat Malaysia dalam berdemonstrasi berbanding rakyat di negara lain.
Rakyat negara ini sebelum tunjuk perasaan 9 Julai misalnya telah menerima kekangan hebat daripada polis, mereka disekat dari memasuki Kuala Lumpur. Ramai yang ditahan hanya kerana memakai baju kuning. Pemimpin mereka dihina. Gerakan Bersih dicaci semahu-mahunya selama dua minggu. Sepatutnya 9 Julai adalah hari demonstran mengamuk. Dengan jumlah hampir 100,000, andainya mereka merusuh tentu kesannya jauh lebih besar daripada di kota London.
Gambar yang diambil di metropolitan itu menunjukkan jumlah penunjuk perasaan tidak lebih daripada 10,000 orang. Kelihatannya sejumlah kecil kumpulan perusuh bertempur menghadapi beberapa orang polis pencegah rusuhan dan gambar lain ialah sekumpulan perusuh memecah masuk ke premis perniagaan.
Tiada gambar sehebat himpunan di hadapan menara Maybank atau Pudu Raya. Tiada gambar ribuan peserta membina benteng manusia menghadapi polis. Beza tunjuk perasaan di U.K adalah tujuannya, iaitu untuk mengamuk dan merompak. Tujuan demo Bersih hanya ingin menyampaikan mesej rasa benci kepada penipuan pilihanraya. Jadi, tidak perlulah kedai di sepanjang laluan dirosakkan atau disamun.
Kematian dan rusuhan
Isu utama mencetuskan rusuhan di London kerana seorang bapa berkulit hitam, Mark Duggan terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis. Belum rasmi adakah kematian itu kerana kecuaian polis atau pun mangsa memang seorang penjenayah merbahaya. Rusuhan yang hampir sama penyebabnya pernah berlaku di Los Angelas, Amerika Syarikat (A.S) pada 1992 apabila seorang lelaki kulit hitam Rodney King dibelasah polis sebanyak 50 kali. Kemudian bandar raya itu dibakar oleh perusuh kulit hitam sehingga kerajaan A. S menghantar tentera mengamankan keadaan.
Bandingkan dengan apa yang berlaku di Malaysia. Berapa kalikah polis membelasah tahanan dalam lokap? Ketua gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dibelasah separuh mati pada 1998. Berapa ramai yang dipaksa melakukan ketuk ketampi bogel di lokap?. Dipukul menggunakan paip getah. Berapa ramai pula yang mati dalam lokap? Kugan dibelasah hingga mati. Aminulrashid Amzah ditembak mati. Terbaharu Baharuddin terkena gas pemedih mata dan ada versi mengatakan dia dikasari polis hingga mati.
Namun sekali lagi terbukti rakyat Malaysia amat baik dan tidak melakukan apa-apa untuk membela kematian mereka. Bayangkan jika Kuala Lumpur adalah London atau Los Angeles. Dengan keadaan mayat Baharuddin yang patah gigi dan patah tulang rusuk, tidak akan ada sesiapa yang menunggu laporan rasmi dari hospital melainkan menuntut bela dan mengamuk di serata Kuala Lumpur.
Berapa banyak kedai di kotaraya itu akan dirompak dan hangus terbakar jika jumlah yang merusuh ratusan ribu? Mungkin sama teruknya dengan Jakarta pada 1998. Oleh itu, kerajaan dan media jangan menghina penyokong Bersih yang menuntut hak pilihanraya bebas dan adil. Jangan menghalang rakyat melaksanakan hak menunjuk perasaan aman. Mereka terbukti adalah rakyat yang sangat baik dan regim Najib tidak akan berjumpa rakyat sebaik ini di mana-mana negara pun di dunia.
Sekiranya rakyat Malaysia sama ganasnya dengan rakyat negara lain. Tunjuk perasaan tidak akan aman sebagaimana di Korea Selatan yang menggunakan bom api atau negara Amerika Latin yang membawa berlori-lori batu untuk dibaling kepada polis. Sekiranya rakyat Malaysia seganas itu, polis pun tidak akan mampu mengawalnya kerana bilangan polis dan rakyat di negara ini kecil nisbahnya berbanding di negara maju. Umno-BN pula sudah lama diguling seperti rejim-rejim authoritarian di negara Asia lain.
Kenaikan harga
Isu tembakan polis hanyalah pencetus rusuhan di London. Isu sebenar adalah kenaikan harga barang pengguna, ketidakseimbangan ekonomi dan semakin kurangnya faedah sosial di negara itu. Kerajaan dilihat tidak bersungguh-sungguh mengawal ekonomi untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Bagaimanapun di U.K dan negara Eropah, faedah sosial amat banyak dinikmati setiap rakyat. Selain kos kesihatan yang murah untuk golongan miskin, rakyat yang tidak mempunyai kerja diberi elaun sara diri selama beberapa bulan. Begitu juga rumah tumpangan dan makanan percuma disediakan pada musim sejuk bagi rakyat yang tidak mempunyai kediaman sesuai.
Malaysia tidak mempunyai skim sosial sebegitu. Bayangkan jika negara ini mengalami musim sejuk bersalji, rumah setinggan golongan miskin yang bahan asas pembinaannya plywood dan zink pasti membeku bersama penghuni di dalamnya!
Jika dibuat perbandingan, gaji permulaan bagi eksekutif di U.K sekitar £2,000 lebih kurang sama dengan gaji eksekutif di negara ini. Tetapi dengan wang sejumlah itu eksekutif di U.K agak mewah dan mampu memenuhi keperluan hidup mereka. Harga jualan Proton Waja di U.K misalnya, kurang £18,000 dan pembeli berhutang tidak sampai 3 tahun. Namun di Malaysia pembeli Waja terpaksa berhutang selama 9 tahun. Di U.K, sekiranya seseorang berbelanja di pasar raya £50 dia mampu membawa pulang satu troli penuh barang-barang keperluan harian. Namun seseorang yang menyediakan RM50 di Malaysia hanya mampu membeli 1/3 daripadanya.
Begitu juga perbandingan simpanan eksekutif muda negara ini. Pada awal 1980an, pekerja biasa mampu menyimpan wang RM50 sebulan. Nilai itu sama dengan RM200 yang disimpan oleh eksekutif muda sekarang. Sedangkan pekerja biasa hari ini hampir tidak mampu menyimpan sedikit pun wang kerana kos hidup yang melambung.
Ketika pemerintahan PM Abdullah Badawi beliau pernah memberi peruntukan sehingga RM1 bilion setahun untuk Kementerian Pertanian bagi menjadikan negara ini hub pengeluaran makanan. Namun apakah hasilnya sekarang? Makanan tetap mahal. Ke manakah perginya wang untuk pembangunan projek pertanian secara besar-besaran itu?
Ditambah dengan polisi ekonomi Najib yang banyak dipengaruhi cara pengurusan Dr Mahathir memperkasakan projek mega bagi mengumpul sebanyak-banyaknya keuntungan untuk kroni, maka projek pengeluaran makanan sekali lagi diketepikan.
Dengan semua dosa-dosa itu, tidak patutkah rakyat marah dengan semua kesusahan yang ditimpakan ke atas mereka? Namun terbukti pada 9 Julai lalu polis dan rejim Najib yang marahkan rakyat dan melayan mereka seolah-olah mereka adalah pengkhianat