Naib Presien PAS Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas Parlimen dibentuk bagi melantik pegawai tinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru. Hal itu ditegaskan dalam sidang media di pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 15 Ogos lalu.
“Proses rombakan perlu segera dilaksanakan terhadap SPR dan kesemua pegawai tinggi (yang mentadbir) badan itu harus ditamatkan perkhidmatan sebelum Parlimen dibubar
“Satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah Parlimen perlu memilih calon-calon yang benar-benar kredibel dan mengemukakan kepada Yang DiPertuan Agong untuk dilantik sebagai pentadbir SPR yang baru bagi memperbaiki keyakinan rakyat (kepada proses pilihanraya),” katanya.
Dalam isu yang sama, Mahfuz juga membidas kerajaan BN yang mengeluarkan terlalu banyak kad pengenalan biru kepada pendatang asing tanpa memperincikan kriteria yang tepat bagi seseorang itu mendapat kerakyatan.
“Tempoh seseorang pendatang menetap di negara ini tidak boleh menjadikan mereka layak dengan mudah menjadi rakyat Malaysia. Di Arab Saudi atau Singapura syarat untuk menjadi warganegara sangat ketat. Singapura misalnya menetapkan hanya ekspatriat asing yang memiliki kemahiran tinggi sahaja dibenar mendapatkan kerakyatan.
“Mengapa Malaysia tidak menetapkan syarat sedemikian. Jika buruh estet atau amah pun diberi kerakyatan tentunya kerajaan yang akan menanggung beban bantuan untuk golongan ini, bukannya mereka yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” bidasnya.
Beliau menekankan kebanjiran warga asing hanya akan menjejaskan kedaulatan negara, keselamatan dan kesetiaan kepada institusi raja.