KETIKA negara dan pembangkang sedang bergelut dengan keputusan Anwar Ibrahim malam tadi, anak perempuannya pula percaya tidak penting untuk Pakatan Harapan (PH) menamakan calon perdana menteri atau pemimpin tertinggi.
“Kenapa semua orang fikir yang PH perlu secara rasmi menamakan calon PM atau pemimpin tertinggi untuk mengetuai pakatan ini sebagai pra syarat memenangi PRU14?
“Bukankah Pakatan Rakyat menang undi majoriti pada PRU13 tanpa menamakan pemimpin tertinggi atau calon PM secara rasmi,” katanya di Facebook hari ini.
Anwar yang juga ketua umum PKR menarik diri sebagai calon perdana menteri untuk PH semalam.
“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menteri,” kata Anwar dalam satu kenyataan semalam.
Nurul berkata PH perlu meneruskan mencari formula kejayaan gabungan sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat.
“Kesepakatan dan kesaksamaan serta saling menghormati sesama parti komponen. Berhenti bercakap mengenai calon PM atau pemimpin tertinggi. Ketepikan sikap penting diri dan kepentingan sempit dan fokus hanya untuk menang PRU14, kejayaan menanti kita,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.
Nurul yang juga naib presiden PKR berkata bapanya memainkan peranan penting pada kejayaan pembangkang dalam PRU12 walaupun tidak memegang jawatan rasmi dalam parti.
“Sama juga, dia tidak dinamakan secara rasmi sebagai calon PM, tetapi dia juga yang menyebabkan Pakatan Rakyat menang undi majoriti pada PRU13,” katanya. – TMI