Kumpulan kaji selidik Invoke Malaysia yang diketuai Rafizi Ramli hari ini berkata hanya 6 daripada 53 kerusi Parlimen dengan pengundi warga Felda akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya berlaku pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.
Enam kawasan Parlimen itu adalah Teluk Intan yang menurut kaji selidik itu mencatatkan peralihan sokongan 10.3%, Kulai (8.28%), Bentong (4.6%), Raub (3.02%), Segamat (2.96%), Tanjung Malim (1.83%) dan Bagan Datuk (0.26%).
Lima daripadanya ditandingi calon bukan Melayu, kecuali di Raub yang kini disandang wakil rakyat DAP, Mohd Ariff Sabri Abd Aziz.
“Menariknya, ini sebelum kemelut terkini yang berlaku di Felda Global Ventures Berhad (FGV). Kami masih belum sempat untuk menganalisis data terbaru,” kata Rafizi yang berkata penemuan itu berdasarkan data setakat April tahun ini.
“Kami masih belum sempat untuk menganalisis data terbaru,” tambahnya.
Naib presiden PKR itu berkata 47 kerusi lain di bawah penempatan Felda menunjukkan peralihan sokongan kepada pembangkang, dengan peratusan terbesar di Padang Terap iaitu 24.1%.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ia berpihak kepada Pakatan Harapan atau PAS, mahupun sama ada ia menjamin kemenangan pembangkang.
“Seperti di Kulai, mungkin majoriti berkurang sedikit,” katanya merujuk kerusi dimenangi wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching, dengan majoriti lebih 13,000 undi.
“Dan tentulah di kerusi marjinal seperti Teluk Intan, Tanjung Malim, Segamat dan Raub, ini adalah sesuatu yang kita perlu teliti,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi yakin jika sentimen pengundi di kawasan tersebut tidak berubah, pembangkang mempunyai peluang cerah membentuk kerajaan.
Menurutnya, antara punca peralihan sokongan itu adalah masalah melanda Felda sejak akhir 2016. Ia ditambah kemelut terkini di peringkat atas FGV turut memberi kesan kepada warga peneroka.
“Bayaran lambat, rumah tak siap, bonus tak banyak,” katanya memberikan contoh.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini melancarkan siasatan ke atas FGV. Beberapa pegawainya termasuk ketua pegawai eksekutif juga diarahkan bercuti. Semalam, Tan Sri Isa Samad diganti dengan Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi syarikat itu. – FMT