Pengumuman kerajaan tidak melaksanakan penarikan balik status pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas 60 jenis barangan makanan menandakan kewangan kerajaan mungkin bermasalah dan pemerintah cuba menjana lebih pendapatan melalui GST.
Mengulas mengenai hal demikian, penganalisis ekonomi Albert Kwok berkata, penarikan semula pengumuman itu yang dibuat selepas pembangkang dan rakyat menyatakan protes menunjukkan kerajaan semakin tidak tetap pendirian dalam melaksanakan polisi. Katanya, ekonomi negara semakin goyah apabila berlakunya skandal demi skandal kewangan yang menyebabkan pelabur luar semakin kurang masuk ke Malaysia.
“Juga kenyataan Department Of Justice Amerika Syarikat mengenai isu 1MDB jelas mengugat nama baik negara. Dan berikutan perkara ini, golongan usahawan dari negara-negara lain berkemungkinan akan kurang yakin dengan negara kita kerana isu 1MDB melibatkan hal kewangan dan urus-tadbir,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut beliau, sekiranya benar penafian yang dilakukan PM Najib dan menteri BN bahawa DOJ hanya memfitnah maka mereka haruslah mengambil tindakan mahkamah di AS untuk membersihkan nama.
“Oleh itu, kerajaan harus mengambil tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa untuk menghentikan DOJ dari memburukkan nama pemimpin kita kerana kalau hal ini berterusan, persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia akan turut terjejas dan ini boleh mengurangkan pengaliran pelaburan asing ke dalam negara kita.
“Ini melibatkan maruah negara. Kita sebagai sebuah negara yang berdaulat yang sedang menuju ke Wawasan 2020 tidak boleh hilang keyakinan dan penghormatan dari masyarakat antarabangsa kerana kita akan mencapai 60 tahun merdeka tahun ini. Ini bererti tindakan segera harus diambil untuk menghentikan ‘serangan’ dari DOJ supaya nama negara tidak akan tercemar,” kata Albert lagi