Penganalisis politik meramalkan pilihan raya umum ke 14 akan diadakan pada tahun ini meskipun kerajaan BN tidak boleh menggunakan persempadanan semula yang dirangka Suruhanjaya Pilihan Raya pada 2016 lalu.
Menurut pemerhati politik, Albert Kwok, satu lagi petanda penting adalah keaktifan media perdana dan menteri kabinet Najib membelasah Tun Mahathir pada setiap hari untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada ketokohan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.
“Masalah yang sedang dialami oleh DAP dan serangan bertubi-tubi terhadap Tun Dr Mahathir adalah bukti PRU14 sudah dekat. Selain daripada itu, pemimpin BN pun sedang mengheboh-hebohkan bahawa mereka mampu menawan kembali Selangor.
“Oleh itu, DAP harus mengambil tindakan segera supaya tidak jatuh ke dalam perangkap BN sebelum PRU14. Jika DAP parti menjadi parti tidak sah setelah Parlimen dibubarkan, maka Pakatan Harapan (PH) mungkin akan kehilangan banyak kerusi.
“Namun demikian ahli-ahli DAP yang bakal bertanding dalam PRU14 masih boleh bertanding atas tiket parti komponen Pakatan Harapan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Sehubungan itu, Albert menggesa PH membuat persiapan secukupnya untuk menghadapi PRU14 kerana ia mungkin diadakan dalam bulan September memandangkan pembangkang merancang satu perhimpunan besar-besaran pada bulan itu bagi membantah penyelewengan berterusan kerajaan dalam isu 1MDB.
“1MDB boleh jadi senjata yang mampu menumpaskan BN. Oleh itu, saya berpendapat BN sedang merancang untuk mengadakan PRU14 sekarang juga. Sesi Parlimen yang akan datang ialah dari 24 Julai hingga 10 Ogos. Mungkin Parlimen akan dibubarkan pada 10 Ogos,” sambung Albert berseloroh.
Bagaimanapun pada sisi lain, kata beliau, kritikan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap DAP dan Tun Mahathir membuktikan BN semakin gelabah dan takut kepada pembangkang. Hal ini bererti peluang PH untuk menang PRU14 memang ada.
“Dalam bulan ini dan bulan Ogos tentu lebih banyak serangan yang akan dilancarkan terhadap Pakatan. Saya harap pemimpin-pemimpin DAP akan mengatur langkah dengan cermat.
“Permainan catur politik sudah bermula. BN semakin terdesak dan akan bertindak lebih berani lagi apabila mereka nampak lebih banyak orang sedang berpihak kepada Pakatan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat. Saya harap PH akan berwaspada,” ujar Albert.