Tindakan panglimna-panglima Umno melondeh dan menyerang Tun Mahathir tidak lebih menggambarkan ketakutan luar biasa parti itu terhadap kemaraan Pakatan Harapan, kata ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Katanya, kenyataan Tun mahathir menyokong Anwar sebagai perdana menteri seterusnya membuat Umno kecut perut kerana PH akan lebih bersatu lagi selepas ini menghadapi BN di bawah Anwar.
“Hari ini Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein riuh dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dengan mengugut akan melondehkan serta mendedahkan keburukan Tun Mahathir dalam tempoh 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri jika Tun terus menyerang Najib dan kerajaan Umno Barisan Nasional.
“Mereka membangkitkan kesalahan lampau Tun ini kerana bimbang dengan kerjasama politik yang semakin erat antara Tun dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan dari DAP dan Amanah yang mampu menghilangkan kuasa politik BN
“Dalam hal ini, sejarah telah membuktikan apabila negara dalam bahaya dan rakyat terancam maka akan ada negarawan dan pihak yang bertentangan akan bersatu berjuang menetang musuh besar negara sebagaimana yang berlaku antara Hamas dan Fatah apabila mereka bersatu menentang Israel.
“Begitu juga di Indonesia, berlaku banyak pihak yang bertentangan akhirnya bersatu menentang regim Suharto untuk Indonesia yang lebih demokratik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut memuji kesediaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup melupakan perseteruan lamanya dengan Tun Mahathir hanya kerana mahu menyelamatkan negara.
“Tun dan Anwar serta pimpinan utama PH adalah negarawan ulung. Mereka mampu mengenepikan perbezaan pendapat dan permusuhan politik demi menyelamatkan rakyat dan negara daripada kebobrokan regim MO1,Isteri MO1,Jho Taek Low dan BN.
“Kenyataan Zahid, Hishammudin dan pimpinan kanan BN yang mahukan Tun M ‘menjaga mulut’ adalah tidak perlu.
“Mereka mendakwa jika dahulu Umno boleh menutup kesalahan Tun sewajarnya Tun juga menutup kesalahan Najib dan kerajaan sekarang.
“Bagi saya ini bermakna mereka mengesahkan segala dakwaan pembangkang terhadap penyelewengan Najib dan kerajaan .Kenyataan yang mereka keluarkan sedemikian menunjukan budaya Umno ialah menjadikan kewajipan untuk mereka ‘menipu rakyat’ dengan menutup dan melindungi kesalahan bos (ketua) kerana mereka akan sama-sama mendapat habuan
“Budaya terkini Umno ialah “kalau dulu hang buat, la ni bagi peluang untuk kami buat pulak” apabila kesalahan Tun yang mereka lindungi sebelum ini menjadi lesen untuk menghalalkan kejahatan dan dosa jenayah yang mereka lakukan sekarang,” sinis Mahfuz.
Sehubungan itu beliau menyeru agar rakyat bangkit membuat perubahan untuk tidak membiarkan BN berterusan memerintah Malaysia .
Katanya, kuasa politik Umno-BN mesti ditamatkan dan budaya baru politik Malaysia mesti dibentuk segera. Politik wala’ tak ketahuan serta ‘bodek boss’ mesti dihentikan dan tindakan mesti diambil walaupun seseorang itu masih berkuasa untuk menghalang keburukan dan kerosakan yang lebih dahsyat kepada negara dan rakyat
“Saya berpendapat bahawa apa yang disuarakan oleh Tun sekarang adalah kerana beliau tidak mahu budaya di zamannya berulang dengan pemimpin kanan dan rakyat menjadi ‘yes man’ serta wala’ membuta tuli
“Bagi saya rakyat tidak harus menjadi mangsa pemimpin dengan budaya “masa hang ‘sapu’ kami boleh diam, sekarang zaman kami nak ‘sapu’ hang pun kena duk diam”, katanya lagi.