Jelajah mengenai skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) akan berakhir dengan perhimpunan gergasi, umum pemimpin DAP Tony Pua.
Pua berkata, perhimpunan gergasi itu akan diadakan pada 14 Oktober namun lokasinya akan diumumkan kemudian.
“Kita akan buat satu jelajah baru di mana yang bermula di Penaga, Pulau Pinang itu pra pelancaran dan hari ini ialah pelancaran rasmi oleh PH dan kemudian kita akan teruskan himpunan paling besar sehingga 14 Oktober,” kata Pua yang disambut dengan tepukan paling gemuruh kira- kira seribu hadirin di Shah Alam hari ini.
Ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” iaitu sebuah ceramah mengenai penerangan penyelewengan 1MDB dibarisi pimpinan PH antaranya Dr Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.
Ia merupakan ceramah pertama selepas PH mengumumkan barisan Majlis Presiden pada 14 Julai. Barisan yang ditunggu-tunggu itu menyaksikan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai pengerusi dan ketua umum , manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.
Serentak dengan pengumuman perhimpunan gergasi itu, kesemua pemimpin PH yang menjadi berucap turun daripada pentas dan memegang sepanduk ceramah sebagai gimik pelancaran.
Shah Alam merupakan jelajah kedua PH dalam misi menerangkan skandal 1MDB kepada rakyat Malaysia dalam kalangan Melayu Islam yang merupakan pengundi majoriti pada pilihan raya umum akan datang. – TMI