Setiap seorang daripada 100,000 peneroka Felda akan RM70,000 lebih kaya sekiranya AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mahu dirampas Amerika Syarikat dikongsi antara mereka, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Perdana Menteri Najib Razak semalam mengumumkan insentif khas berjumlah RM5,000 seorang untuk 94,956 keluarga peneroka semasa Hari Peneroka Felda Negara di Putrajaya.
Lim berkata peneroka Felda pastinya tertanya-tanya mengapa insentif khas itu diumumkan lebih rendah berbanding RM15,000 yang diterima setiap keluarga Felda sebelum Pilihan Raya Umum Ke 13 pada 2013.
Ketua Parlimen DAP itu berkata lebih banyak keluarga Felda akan mendapat manfaat daripada rampasan rantai berlian merah jambu yang didakwa dihadiahkan kepada isteri “Malaysian Official 1” (MO1).
“ Berdasarkan insentif khas RM5,000 kepada setiap keluarga Felda, berapa banyak keluarga Felda akan terima manfaat hanya daripada rantai berlian merah jambu 22 karat? Mudah saja lebih daripada 22,000 keluarga Felda kerana rantai itu bernilai RM117 juta,” kata Lim.
Ahli Parlimen veteran itu juga mengatakan terlalu banyak skandal berlaku dalam negara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Malaysia, sama ada skandal 1MDB atau skandal Felda dan FGV.
“Parlimen akan bersidang esok dan wakil rakyat Pakatan Harapan akan bercakap untuk 100,000 keluarga Felda mendesak kebertanggungjawapan penuh kepada skandal Felda dan FGV dan mengapa insentif khas yang diumumkan hari ini kepada keluarga Felda ialah satu kekecewaan kalau hendak dibandingkan dengan ganjaran sebelum PRU 13,” kata Lim pada acara Hari Raya Pakatan Harapan di Bentong semalam. – MD