Propaganda putar belit BN yang semakin menjadi-jadi setiap hari membayangkan kepanikan mereka terhadap kemaraan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Mahathir.
Dalam percubaan terdesak untuk meraih undi masyarakat Melayu, BN telah mengeluarkan teori kononnya Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan semua orang Melayu dalam PH telah dikuasai DAP. Mereka akan kehilangan hak sekiranya mengundi PH.
Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran mempertikaikan dakwaan itu. Katanya, hujah pemimpin BN tersebut seolah-olah memperlihatkan ketakutan pemimpin BN dan percubaan mereka untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) tergempar (snap election) bagi mengelak lebih banyak kerusi jatuh ke tangan pembangkang.
“PH sedang mencapai momentum yang kuat kini. Saya ingin menggesa semua penyokong PH serta ahli-ahli parti komponen supaya bertindak sekarang juga.
“Rakan usahawan, penganalisis politik, semua kata PRU14 mungkin berlaku antara bulan September hingga November tahun ini tetapi menurut sumber yang saya perolehi, PRU14 akan diadakan pada 17 September dan ini bermakna Parlimen akan dibubarkan bulan depan.
“BN nampaknya sudah panik dan mereka hendak segera menghentikan gerak kerja PH dengan mengadakan PRU14,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Kulasegaran juga berkata, putar belit BN di media arus perdana dirancang untuk melemahkan keterbukaan minda masyarakat Melayu yang mula menerima seruan perubahan dibawa Mahathir, terutama dalam isu 1MDB.
“Tujuan pelbagai kenyataan itu dibuat adalah untuk mengalih perhatian Melayu dari isu 1MDB dan lebih penting lagi untuk melemahkan sokongan Melayu kepada Tun Mahathir serta Anwar Ibrahim dengan memperlekeh mereka sebagai orang suruhan DAP,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Kulasegaran berpendapat propaganda BN itu tidak akan berjaya mengurangkan sokongan, memandangkan pengundi Melayu telah pun meletakkan harapan tinggi kepada gandingan Anwar – Mahathir yang dilihat lebih berwibawa memerintah berbanding PM Najib.
“Ramai orang dari berbagai bangsa hormat kepada Tun dan sekarang hanya tinggal undi Melayu di kawasan kampung sahaja yang diperlukan oleh PH untuk menawan Putrajaya.
“Juga di beberapa kawasan kampung, sokongan Melayu saya lihat telah berpindah kepada PH
“Jika PRU14 diadakan pada tahun depan, saya ramal PH 100% akan menang,” katanya lagi yang meminta jentera PH berwaspada dengan janji dan gula-gula politik yang sedang ditabur oleh kerajaan BN.