Baru-baru ini, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori SarawakReport[1] menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat (baca: pembayar cukai) sebanyak RM57.68 juta[2] dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah. Terdapat kemusykilan berkaitan wang rakyat dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk kepentingan politik tetapi bertopengkan nama ‘negara’.
Walaupun defisit fiskal negara kekal tinggi sejak pasca krisis kewangan 1997/98 sehingga hari ini, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berbicara mengenai keazaman kerajaan untuk mengurangkan deficsit fiskal, tetapi pendedahan demi pendedahan kes-kes tertentu masih menunjukkan bahawa kerajaan hari ini terlibat dengan pembaziran atau dakwaan penyelewengan wang rakyat untuk projek-projek yang tidak diketahui butirannya. Semuanya kononnya atas nama kepentingan negara atau pembangunan negara.
Dalam pendedahan baru-baru ini, kerajaan didakwa ‘mendahulukan rakyat’ dengan membelanjakan wang rakyat dalam kempen publisiti politik kotor. Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian,SarawakReport telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.
Kajian yang dijalankan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, terdapat sekurang-kurangnya tiga peruntukan Belanjawan Negara yang melibatkan projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ atau FBC Media. ketiga-tiga peruntukan tersebut didapati termaktub dalam Maksud B.6 yang merujuk kepada perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang menarik perhatian adalah, ketiga-tiga peruntukan tersebut bukan termaktub dalam belanjawan tahunan negara atau Akta Perbekalan tetapi termaktub dalam belanjawan tambahan atau Akta Perbekalan Tambahan.
Dengan kata lain, ketiga-tiga peruntukan tersebut termaktub dalam Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009, Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010 dan Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010. Maksud-maksud berkaitan berbunyi seperti berikut:
AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2009
Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri
Sebanyak RM29,337,650 adalah untuk kos perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limitedbagi melaksanakan projek Global Strategic Communications tahun 2008.
AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2010
Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri
Sebanyak RM28,350,000 untuk membiayai kos perjanjian pelaksanaan projek Global Strategic Communications Campaign antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi tahun 2009.
AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2010) 2010
Maksud B.06 – Jabatan Perdana Menteri
Sebanyak RM42,000,000 adalah dikehendaki untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.
Merujuk kepada kertas perintah berkenaan dengan Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009 dan Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010, RM57.68 juta telah dibayar oleh JPM antara tahun 2008 hingga 2009 kepada FBC Mediauntuk menjalankan projek ‘Global Strategic Communications Campaign’. RM29,337,650 telah dibayar pada tahun 2008 dan RM28,350,000 telah dibayar pada tahun 2009.
Merujuk kepada Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010, timbul kemusykilan berhubung kaitan antara FBC Mediadengan peruntukan sebanyak RM42,000,000 untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.
Ketiga-tiga kertas perintah Akta Perbekalan Tambahan di atas jelas menunjukkan jumlah perbelanjaan yang telah dipergunakan oleh pemimpin kerajaan. Projek yang melibatkan dana sebesar ini sememangnya memerlukan semakan atas prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih terbuka. Sehingga kini, kita tidak jelas akan perbelanjaan sebenar dan aktiviti yang dijalankan di bawah projek tersebut. Selanjutnya, sebuah firma komunikasi awam dan hal ehwal strategi di Amerika Syarikat, APCO Worldwide telah didedahkan berkhidmat kepada FBC Media dengan bayaran $70,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu untuk menjalankan kempen melobi di Amerika Syarikat bagi Kerajaan Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://kpru2010.wordpress.com/.
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change,政改研究所) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.
KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.