Kenaikan harga barangan keperluan harian yang berterusan begitu menekan kehidupan rakyat. Sehubungan itu, kerajaan digesa meningkatkan subsidi bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin tinggi.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan demikian dalam sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini. Beliau turut menyelar polisi kerajaan BN yang tidak mampu mengagihkan kekayaan negara secara adil kepada rakyat
“Subsidi makanan di negara ini sangat kecil bernilai RM3.4 bilion. Sudah tentu subsidi ini perlu ditambah bagi menstabilkan harga barang keperluan harian. Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang lebih adil dalam mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat
“Apa yang dikesalkan, kerajaan tidak mewujudkan mekanisme sedemikian tetapi sering mengungkit kononnya subsidi amat banyak sehingga RM74 bilion. Sedangkan mengikut pecahan agihan, RM42 bilion adalah untuk sektor pembangunan sosial seperti kesihatan, pendidikan, pembangunan insfrastruktur dan sebagainya. Manakala RM23 bilion pula untuk tenaga.
“Mengapakah kerajaan (memperdaya rakyat) mencampurkan peruntukan sektor pembangunan sosial dalam kategori subsidi. Sektor itu bukan subsidi sebaliknya tanggungjawab kerajaan. Sebenarnya rakyat hanya menikmati subsidi RM4.8 bilion dan jumlah ini kecil berbanding KDNK negara,” kata Mahfuz
Mahfuz yang juga pengerusi Kelab Protes Barang Naik (Protes) yang dilancarkan olehTimbalan Presiden PAS Mohammad Sabu beberapa hari lalu membidas kenyataan terbaharu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyebut kenaikan harga barang di negara ini berkaitan secara langsung dengan kenaikan di pasaran dunia.
“Apakah Nor Muhammad tidak tahu kegagalan kerajaan dalam urus tadbir kewangan negara menjadi sebahagian dari punca kenaikan harga barang itu. Kerajaan kekurangan wang kerana ketirisan. Ketirisan sepanjang beberapa tahun lalu dikesan berjumlah RM 28 bilion. Jumlah ini cukup untuk menaikan sekali ganda nilai subsidi kepada rakyat
“Najib pernah berjanji untuk mengamalkan polisi tender terbuka. Namun sehingga hari ini projek kerajaan kebanyakannya diberi melalui dasar runding terus. Kementerian Kewangan memberi arahan kepada JKR (dalam lantikan kontraktor) dan harga relatifnya lebih tinggi berbanding tender terbuka
“Begitu juga sektor perbekalan makanan dalam negara yang masih dimonopoli oleh pihak tertentu seperti pengimportan beras dan gula, ini menaikan harga,” katanya.
Mahfuz turut menyindir saranan kerajaan yang meminta peniaga di bazaar Ramadan jangan menaikan harga. Katanya, Peniaga tidak salah kerana harga bahan mentah semakin mahal
“Semua kuih Melayu menggunakan gula. Saya suka mencadangkan Rosmah Mansor cipta resepi kuih yang tidak pakai gula, pakai akar seruntun yang rasanya pahit. Waktu itu kuih akan dapat dijual dengan harga lebih murah,” sindir Mahfuz.