Pakatan Harapan (PH) Kelantan akan menamakan calon daripada golongan minoriti untuk pilihan raya umum akan datang, lapor The Star.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Husam Musa berkata penyertaan golongan minoriti di Kelantan sangat penting untuk menentukan dan menggubal polisi bila PH mengambil alih negeri kelak.
“Kami nak perwakilan yang mampu mewakili semua kumpulan etnik. Matlamat kami ialah untuk menang besar,” katanya.
Pengagihan kerusi untuk 14 kerusi Parlimen juga sudah hampir selesai, tambah Husam.
“Tak akan berlaku sebarang perselisihan sebab kami dah bergabung bersama sebagai sebuah pakatan,” katanya.
Pilihan raya akan datang di Kelantan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PAS, PH, dan Barisan Nasional (BN).
Sekarang di Kelantan, PAS menguasai 31 kerusi Parlimen, selain 11 kerusi BN dan satu kerusi Amanah dan satu kerusi PKR.
Manakala penduduk Kelantan terdiri daripada 95% Melayu, 4% Cina dan selebihnya kaum lain.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight pada April lalu, Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Kelantan, Khir Zahri Abdul Ghani berkata partinya mempunyai peluang dan menjangka bakal mengambil alih 45 kerusi DUN Kelantan.
“Di Kelantan, kekuatan kita sama kuat dengan PAS dan Umno. Saya berani kata nisbah pengundi ialah 30:30:30 untuk Amanah, PAS dan BN.
“Baki 10% pengundi itulah yang akan menentukan siapa yang akan mendapat kerusi lebih,” kata Khir.
Pada Julai tahun ini, melalui kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapat kebenaran kerajaan Kelantan menunjukkan PAS akan kalah di negeri itu jika berlaku pertembungan tiga penjuru.
Dari kajian itu juga menunjukkan PAS hanya dapat mempertahankan 15 kerusi sahaja.
Dari kaji selidik lain oleh Ilham Centre pula menunjukkan 15% dan 30% pengundi yang tinggal di luar Kelantan lebih cenderung menyokong PH. – TMI