Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau Tian Chua hari ini dibebaskan dari Penjara Kajang, selepas menjalani hukuman penjara sebulan atas tuduhan berada di sebuah lokasi polis tanpa kebenaran.
Sejurus pembebasannya, Tian Chua memberitahu media beliau berasa lega selepas “sebulan berehat”.
“Sudah lama tak berjumpa, saya gembira dapat keluar selepas sebulan berehat,” katanya selepas keluar perkarangan penjara disambut kira-kira 150 penyokong.
Menurutnya, beliau dikejutkan oleh warden penjara pada jam 5.00 pagi tadi.
“Mungkin mereka melihat ramai yang menunggu saya dan membebaskan saya lebih awal.”
Tian Chua berkata pengorbanannya adalah sesuatu yang kecil berbanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya setakat sebulan sahaja, tak boleh komplen sangat,” katanya, membandingkan tempoh penjaranya dengan hukuman 5 tahun yang sedang dijalani Anwar yang juga ketua umum PKR dan Pakatan Harapan.
Antara yang hadir menyambut Tian Chua ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh.
Penyokong juga menyerahkan kepada Tian Chua seekor burung merpati untuk dilepaskan sebagai tanda pembebasan beliau hari ini.
Tian Chua turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Penjara Kajang yang mengambil berat keperluannya selama berada di penjara.
Tian Chua tidak menyesali apa yang dilaluinya, menganggapnya sebahagian daripada pengorbanan.
“Jadi ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti, ia proses normal,” katanya.
Mengenai aktiviti dalam penjara, Tian Chua berkata beliau menghabiskan 15 buku, di samping menulis dan melukis.
Tian Chua didapati bersalah melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pada 2012, ketika beratus-ratus peserta demonstrasi anjuran Bersih ditangkap.
Beliau melakukan kesalahan itu di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959, pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.
Tian Chua dihantar ke penjara selepas melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.
Dalam hujahnya di mahkamah sebelum ini, Tian Chua berkata beliau tidak tahu yang Pulapol adalah zon larangan awam, dan hanya sedar apabila didakwa di mahkamah. – FMT