Perdana Menteri Najib Razak mengabaikan tujuh isu yang telah menghalang pertumbuhan negara, kata Liew Chin Tong daripada DAP dalam mengulas penglibatan Najib dalam pentadbiran selama 17 tahun.
Liew berkata Najib sebaliknya memilih untuk mengambil pendekatan populis dan malas dalam pentadbirannya berbanding mewujudkan keseimbangan kerajaan dan perubahan.
“Berbanding memacu negara dengan penyeimbangan dan perubahan untuk melalui masa sukar dan tegang, dia memilih cara malas dan populis dengan mengetepikan tindakan yang sepatutnya diambil kepimpinannya,” kata Liew dalam blognya hari ini.
Liew menyenaraikan tujuh perkara yang diabaikan pentadbiran Najib seterusnya membantutkan pertumbuhan Malaysia.
Pertama, Liew mengatakan Najib gagal memastikan serakan seimbang penggunaan domestik sejak Krisis Ekonomi Global pada 2008 yang menyebabkan pekerja dibayar kurang untuk bersaing dalam pasaran eksport.
“Pada era diterajui eksport, membayar pekerja kurang membenarkan kita mempunyai daya saing dalam pasaran eksport.
“Tetapi hari ini, membayar pekerja Malaysia dengan lebih baik bermakna kelangsungan pendapatan yang dipandu penggunaan domestik,” katanya.
Kedua, katanya Najib membawa negara melepasi model intensif tenaga buruh dengan memberi tumpuan kepada tenaga buruh kurang mahir untuk memacu pembangunan negara.
Liew berkata negara sepatutnya memberi tumpuan kepada “kuasa akal, bukannya kuasa otot” dan ini akan menggalakkan lebih ramai belia Malaysia untuk tinggal di negara ini dan menyumbang kepada ekonomi dan semua orang menerima gaji yang lebih baik.
“Graduan Malaysia dan orang muda yang bekerja di luar negara, kadang-kadang sebagai pekerja 3D, kerana ekonomi negara tidak membentuk pekerjaan mahir yang cukup, yang setaraf dengan kelayakan pendidikan mereka, serta pekerjaan sedia ada pula tidak memberi gaji setimpal,” katanya.
Ketiga, Najib juga tidak memberi tumpuan kepada aspek usia dalam ekonomi negara. Beliau mengatakan masyarakat perlu menilai kembali dan mengambil kira kumpulan berusia di Malaysia dan wujud potensi besar dalam penyediaan pekerjaan yang boleh memanfaatkan negara.
Keempat, Liew mengatakan pentadbiran Najib memberi terlalu banyak tumpuan kepada pembinaan infrastruktur Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) sehingga melupakan masalah pengangkutan yang lain.
Dalam usaha mengubah “50% mode pengangkutan daripada kereta persendirian kepada pengangkutan awam”, Liew mengatakan perlu ada perancangan “pembangunan bas besar-besaran”.
Kelima, Liew berkata peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dinilai kembali dalam aspek pelaburan, sektor kesihatan dan hartanah.
Katanya, kerajaan tidak boleh membenarkan GLIC terlalu banyak melabur di luar negara sedangkan ekonomi negara sedang lembap.
Peranan GLC dalam sektor kesihatan dan hartanah pula perlu dinilai kembali bagi menyediakan perkhidmatan mampu milik dan lebih baik untuk rakyat.
Keenam, Liew berkata bank perlu beralih daripada industri hartanah dan automobil dan mula memberi tumpuan kepada sektor yang produktif.
“Pembiayaan sangat penting untuk negara. Jika sampai 60% pinjaman bank utama adalah untuk pembelian hartanah dan 20% lain untuk kereta, ada masalah dengan bank kita,” katanya.
Akhir sekali, Liew juga mengatakan peranan kerajaan perlu dinilai kembali dalam usaha pembangunan holistik negara.
“Jika ikut propaganda Najib, kerajaan hanyalah untuk kutip cukai, bina infrastruktur besar (yang akhirnya memberi untung lebih banyak kepada kontraktor berbanding pengguna) dan memberikan BR1M. Dan bagi rakyat Malaysia, perkara lain perlu ditangani mereka sendiri,” katanya. – TMI