Sebuah akhbar arus perdana semalam menyiarkan tajuk muka depan, Mat Sabu Hina Pejuang Kemerdekaan. Buat kesekian kalinya akhbar milik Umno itu mengutuk pemimpin PAS. Sepatutnya sesama Melayu Islam, pada penghujung Ramadan ini akhbar perlulah menyemai benih perpaduan. Puasa mengajar kita erti saling menghormati dan menyayangi sesama muslim. Bukannya memfitnah dan caci maki.
Dakwaan penghinaan kepada pejuang negara ini timbul apabila hampirnya tanggal 31 Ogos. Kononnya parti-parti pembangkang tidak ada semangat patriotisme. Hanya Umno-BN yang boleh dipuja di ambang kemerdekaan. Parti itulah yang menuntut kemerdekaan dari British. Namun benarkah begitu?
Hakikatnya hanya parti Umno dan parti pro-British lain yang tidak diharamkan selepas undang-undang darurat diperkenalkan pada 1948. Parti PAS berasal dari Hizbul Muslimin. Banyak ulama di dalam parti itu dan ia diharamkan. Parti berhaluan kiri seperti PUTERA, AMCJA, KMM dan banyak lagi juga disapu bersih dan pemimpinnya dipenjara di bawah undang-undang darurat.
Pemenang perang
Sejarah ditulis oleh para pemenang perang. Inilah ungkapan yang popular selepas perang dunia kedua. Sejarah dunia ditulis kembali dan Amerika Syarikat serta sekutunya diagung-agungkan di mana-mana negara bekas tanah jajahan. Di Jepun perkataan perang dihapus dari buku teks sejarah negara itu. Bangsa Asia pula direndahkan.
Begitulah pemenang perang memutar belit sejarah agar generasi muda negara bekas jajahan memuja negara kuasa besar dan menyembah kuasa besar. Dalam konteks Malaysia Umno adalah pemenang perang di peringkat tempatan biar pun negara ini tidak merdeka secara peperangan.
Pemenang perang ini meletakkan mereka sebagai dewa yang wajib dipuja menjelang hari kemerdekaan setiap tahun. Buku teks sejarah sengaja diletakkan peristiwa yang mengandungi kehebatan tokoh Umno berunding ke London menuntut merdeka.
Benarkah kerajaan British takutkan Tunku dan Umno sehingga memberi Tanah Melayu merdeka? Itu soalan yang pelik untuk dijawab, tetapi banyak ditanya oleh generasi sekolah rendah dan menengah kerana mereka tidak mendapat jawapan sesuai apabila membaca sejarah negara-negara Asia lain yang merdeka melalui perang gerila menentang penjajah. Sebutlah Indonesia, perang bamboo runcing melawan Belanda; Filipina pemberontakan menentang sepanyol; Vietnam menentang Peranchis. Yang paling aman pun India, dengan perjuangan mogok dan boikot terhadap British di negara itu.
Bernasib baik
Malaya bernasib sangat baik kerana merdeka secara rundingan. Namun pelajar yang lebih bijak pastinya menyelidik kebangkitan nasionalisme awal Tanah Melayu. Maka tokoh-tokoh seperti Pak Sako, Ahmad Boestamam, Shamsial Fakeh, Burhanuddin Al Helmy dan ramai lagi akan muncul. Memang mereka dimasukkan juga di dalam buku sejarah tetapi dianggap sebagai faktor pelengkap bukannya faktor utama.
Pelajar yang lebih banyak berfikir tentu pula akan memasukkan nama Chin Peng dan Abdullah CD sebagai tokoh gerila komunis. Ini hanya boleh didapati melalui perbandingan terhadap negara Asia Tenggara lain. Dalam keadaan British mengharamkan parti politik yang berpengaruh dan mula terbentuk sejak hujung 1930 an tentunya para pejuang kemedekaan dalam parti-parti itu akan bergabung dengan mana-mana parti yang masih wujud.
Apabila parti yang wujud itu juga diharamkan maka mereka pasti melarikan diri ke hutan mengelak ditangkap. Perjalanan perjuangan itu sama sahaja dengan apa yang berlaku di negara Asia lain. Kebetulan fahaman komunis mencari tapak di Asia Tenggara maka mereka ini dibantu oleh Komunis Sedunia yang berpengkalan di Moskow dari segi peralatan perang. Itu pun orang Melayu yang masuk ke hutan bukan semuanya komunis, ada yang hanya bergabung dari segi strategik sahaja, begitu dengan Cina. Hanya India yang tidak masuk ke hutan.
Sekiranya tidak ada fahaman komunis waktu itu, tentu sekali mereka akan tetap digelar pengganas juga kerana pejuang ini banyak mensabotaj kepentingan ekonomi British. Cara mana lagi ingin menghalau penjajah jika bukan membuat mereka rugi. Untuk apa Amerika menjajah Iraq jika minyak tiada di sana. Untuk apa negara Eropah menolong pemberontak Libya tanpa ada simpanan minyak. Sekiranya ladang dan lombong British hangus, pastilah mereka akan pulang ke U.K. Inilah taktik yang diamalkan gerila komunis dan apa sahaja perjuangan yang datang dari golongan kiri. Taktik bumi hangus inilah yang ditakuti British. Lalu melaui propaganda mereka, maka dikatakan golongan kiri mengkhianati negara, pengganas komunis pembunuh dan sebagainya.
Semua pejuang di negara Asia di label seperti itu oleh penjajah dan buku sejarah menceritakannya kemudian. British menubuhkan unit tentera tempatan agar orang Melayu tidak melihat British melawan Melayu apabila tentera import Gurkha membunuh orang Melayu di hutan. Kebetulan orang Cina pula yang banyak berjuang dari hutan maka lebih mudah bagi British mendakwa Cina membunuh Melayu.
Tetapi di negara Asia lain penjajah agak sulit. Bagaimana mahu dikatakan soldadu Belanda di Indonesia berbangsa Jawa membunuh pejuang kemerdekaan berbangsa Jawa. Kesannya lain. Itulah yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun-tahun sukar 1940 hingga 1957.
Di negara-negara yang akhirnya golongan pejuang ini berjaya menghalau penjajah maka mereka diiktiraf sebagai wira namun di negara yang parti mesra penjajah berkuasa mereka pasti dianggap penderhaka.
Penderhaka bangsa
Itulah yang berlaku di Malaysia. Perderhaka British terus dianggap penderhaka Malaysia. Semuanya bermula apabila British tidak lagi tertanggung kerugian akibat penentangan golongan bersenjata, sama ada sebelum Tanah Melayu dijajah Jepun (1942) mahupun selepasnya yang menyaksikan gerakan komunis semakin kuat dan berkembang.
Maka Birtish mengiktiraf parti yang ‘paling rapat’ dengan mereka dan tidak akan menghalau mereka begitu sahaja bagi merundingkan kemerdekaan. Dua perkara akan terjaga; pertama pelaburan British dan kedua, parti- parti tersebut akan mendamaikan rakyat yang ingin menghalau penjajah. British akan dianggap baik setelah memberi kemerdekaan.
Berbeza sekiranya komunis atau gerila dari hutan berjaya menghalau British. Pelaburan penjajah pasti akan dirampas dan hubungan dengan bekas penjajah tidak akan baik dalam jangka masa panjang. Hal ini dibuktikan di Vietnam yang mana hubungan dengan Amerika Syarikat tidak begitu baik sehingga hari ini.
Jadi, bertitik tolak dari premis tersebut maka sejarah sepatutnya ditulis semula. Bukan oleh pemenang perang tetapi oleh sebuah badan bebas yang adil. Memang tokoh pejuang akan bertambah dan pemahaman generasi muda terhadap politik Malaysia tidak akan sama dengan generasi sebelumnya. Juga tokoh-tokoh kiri akan mendapat tempat. Namun itu wajar agar fitnah tidak berterusan.
Tidak akan ada lagi ‘usikan’ kepada tentera Melayu penjajah British yang digempur oleh pejuang kiri dianggap menghina pejuang kemerdekaan. Umno pun tidak akan keterlaluan dianggap sebagai dewa penyelamat kerana beberapa parti yang diharamkan juga boleh diambil sebagai faktor utama British memberi kemerdekaan, termasuk parti-parti berhaluan kiri.
Inilah yang kita namakan garis merah tipis. Pada keadaan yang amat berkecamuk menentang penjajah itu amat sedikit kelihatan perbezaannya antara pejuang dan penentang. Namun para pemenang perang yang menulis sejarah kemudiannya meletakkan bukan tokoh menjadi tokoh dan tokoh sebenar dihina serta dicaci. Tibalah masanya Malaysia memurnikan sejarahnya.