Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad tidak menolak pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina pada bulan Februari 2018.
Hal itu, katanya, boleh dijangkakan dengan sesi pendengaran bantahan pengundi di Selangor (negeri terakhir di Semenanjung belum melakukannya) yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai 27 Disember ini.
Berikutan itu, satu sesi khas Dewan Rakyat boleh dipanggil oleh PM Najib untuk meluluskan persempadanan baharu yang memberi kelebihan kepada BN seawal Januari depan, dan selepas itu PRU boleh dilaksanakan.
“Bagi saya, makin lama PRU14 ditunda maka semakin teruk situasi kewangan negara.
“Oleh itu, PRU14 mungkin akan diadakan sejurus selepas Tahun Baharu Cina (16 Februari 2018 dan berakhir dengan Chap Goh Mei, 2 Mac 2018).
“Kerajaan pusat kini sedang cuba sedaya-upaya untuk mengawal keadaan ekonomi sebelum PRU tetapi di peringkat akar-umbi harga barang keperluan asas seperti telur dan minyak masih amat tinggi.
“Bagi rakyat biasa terutamanya peniaga-peniaga Melayu, ini adalah isu yang menjadi tumpuan utama mereka, bukan isu rasis seperti Lim Kit Siang akan jadi PM dan lain-lain,” kata Khalid kepada Suara pakatan daily.
Tambah beliau, isu rasis yang berkaitan DAP sedang sedaya upaya dipanaskan oleh BN menjelang PRU bagi menakut-nakutkan orang Melayu yang menjadi pengundi dominan dalam persempadanan baharu pilihan SPR.
“Kenyataan Kit Siang akan menjadi PM Malaysia adalah satu pembohongan menakutkan orang Melayu.
“Pembohongan ini direka sebab pihak lawan sudah merasa takut mereka akan mengalami kekalahan dalam PRU (walaupun dengan persempadanan baharu),” tambahnya.
Ahli parlimen Shah Alam itu menganggap persempadanan baharu mungkin berguna di kawasan luar bandar. Namun sekiranya orang Melayu faham isu kelemahan BN menguruskan ekonomi negara maka mereka mungkin akan menghundi Pakatan Harapan dan persempadanan baharu tidak menjamin kemenangan BN.
“Kini orang ramai dan kebanyakan penduduk di sub bandar sudah tahu pengurusan ekonomi dan kewangan oleh kerajaan pusat adalah lemah. Justeru itu, mereka sudah bersedia menukar kerajaan
“Isu hangat hari ini di kalangan orang Melayu bukanlah isu perkauman tetapi kos sara hidup, terutamanya harga barang yang meningkat bertali-arus dan ini amat memberi kesan kepada masyarakat Melayu yang kebanyakannya adalah peniaga-peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah,” katanya lagi.