BN mungkin menganggap persempadanan semula pilihan raya yang dilakar Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai senjata utama untuk kembali memerintah selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Bagi Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim, persempadanan yang menjadi talian hayat BN itu hanya berguna jika kos hidup tidak melampau dan bukan semua kaum mahukan kerajaan sedia ada ditukar.
Menurutnya, dalam mood hari ini, walaupun di kawasan Melayu BN belum tentu selamat kerana terdapat kecenderungan rakyat tidak lagi mahu terus ‘bertuankan’ BN yang amat membebankan mereka.
Sehubungan itu, katanya, DAP tidak bimbang sama ada PRU dalam masa terdekat atau pun BN melanjutkannya sehingga habis tempoh sah kerajaan pada Jun 2018.
“PRU14 akan diadakan tahun ini, hanya terpulang kepada PM Najib sama ada mahu bubarkan Parlimen dalam masa terdekat ataupun selepas Hari Raya Puasa (Jun).
“Pakatan Harapan (PH) cukup bersedia. Walaupun persempadanan baru memberi kelebihan kepada BN, namun dari tinjauan yang dibuat di peringkat akar-umbi, rakyat umum sudah bersedia untuk mengubah kerajaan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata, hasil culaan sokongan mendapati penduduk di kawasan luar bandar dan kampung sekali pun marah kepada kerajaan BN kerana gagal mengawal kos sara hidup yang memberi kesan negatif kepada kehidupan harian mereka.
“Hanya di Sabah dan Sarawak, BN mempunyai kedudukan yang agak kukuh. Di Semenanjung, rakyat kini nampak kerajaan pusat di bawah pimpinan Najib Razak telah gagal mengurangkan harga barang selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan dilaksanakan pada 1 April 2015.
“Bahkan ramai menjangka kadar GST akan dinaikkan jika BN menang. Walaupun ada pemberian BR1M, harga barang yang meningkat tinggi melesapkan wang BR1M itu dengan pantas,” katanya lagi.
Suee Lim menambah, suasana terkini negara seolah-olah berputar ke belakang ketika era kemelesetan ekonomi 1980an yang mana kesukaran kehidupan rakyat begitu terserlah.
“Perniagaan kecil sudah tutup dan kalau anda berjalan-jalan di taman anda, tentu anda akan nampak banyak kereta dengan tayar yang sudah patut ditukar.
“Rakyat kekurangan wang dan ada orang yang datang ke pusat khidmat (DAP) untuk meminta RM30 ataupun RM50 untuk keperluan harian.
“Dalam berita baru-baru ini, seorang budak sekolah yang dilanggar mati dan terlantar di jalan raya pun ada orang yang mencuri smartfon beliau. Pada 2 Januari 2018, 10 perompak merompak sebuah kedai emas di Cheras dengan kerugian berjumlah RM1.5 juta dan sebuah hypermart di Perak juga telah dirompak dengan kerugian berjumlah RM200,000. Bukankah ini bukti rakyat sekarang hidup dalam kesusahan?” tanyanya.
Keadaan itu, menurut Suee Lim, menjelaskan mengapa PRU 14 masih tidak dilaksanakan oleh BN. Katanya, PRU sepatutnya diadakan pada tahun 2017 dalam keadaan ekonomi yang agak baik dan pembangkang masih belum bersatu padu. Katanya lagi, kegagalan BN mengadakan PRU merupakan bukti mereka amat takut berdepan pihak pembangkang dan perlukan lebih banyak masa merangka strategi dengan persempadanan baharu.
“Selain dari itu, umum tahu PAS kini adalah sekutu BN. Pengundi akan memberi peluang kepada PH memandangkan BN gagal meringankan beban rakyat.
“Saya berpendapat PAS tidak akan kemana-mana dan oleh kerana ramai orang sudah tidak yakin dengan BN maka kali ini PH mempunyai peluang yang amat baik untuk menang PRU.
“Tun Dr Mahathir juga berjaya meraih sokongan Melayu di kawasan kampung dan itulah yang membuatkan Umno resah dan gelisah.
“Parti-parti komponen lain dalam BN pula berkebarangkalian tinggi akan menghadapi keputusan sifar. PH hanya menunggu pembubaran Parlimen sahaja tetapi saya pikir PM Najib masih tidak yakin dan masih sedang mencari-cari tarikh keramat itu,” katanya lagi.