Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memuji sikap “murah hati” Amanah sebagai punca Pakatan Harapan (PH) boleh mencapai kata sepakat dalam rundingan pengagihan kerusi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Amanah ni nak kata baru ke tak, nak kata lama pun tak. Dulu dia menjelma dalam PRU13, dia menjelma dengan nama lain. Sekarang dia jadi nama lain.
“Dia tuntut tempat lama payah nak bagi, tapi mereka murah hati, akhirnya yang jayakan agihan kerusi kalangan 4 parti ialah Amanah,” katanya disambut sorakan gemuruh hadirin dengan laungan “Amanah”.
Pengerusi PH itu berkata demikian semasa berucap di Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan Amanah (27 kerusi).
Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM mengakui berdepan masalah dalam pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia kerana semua parti tidak berpuas hati.
Katanya, jika ada di kalangan 4 parti dalam gabungan pembangkang itu yang berpuas hati dengan keputusan berkenaan, bermakna berlaku ketidakadilan dalam rundingan pengagihan kerusi itu.
“Kita nak bagi semua puas hati tak mungkin, jadi kena terima keadaan di mana semua pihak tak puas hati.
“Saya yakin parti-parti PH tak ada satu pun yang puas hati. Sudah tentu parti saya tak puas hati, kita berharap dapat banyak…akhirnya kita dapatlah sikit.”
Bekas perdana menteri itu berkata, kerusi PPBM lebih banyak daripada parti lain kerana mereka mahu memanfaatkan ramai pemimpinnya yang berpengalaman dalam mentadbir negeri dan negara.
Katanya, beliau sedia berunding dengan parti lain yang membantah keputusan pembahagian kerusi itu.
“Kita akan runding. Kita guna pengalaman ramai yang ada dalam PH ini yang mempunyai pengalaman dalam bidang mentadbir negeri dan negara,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Konvensyen PH 2018.
Katanya, PKR selaku parti tertua dalam PH juga tidak mendapat semua kerusi yang diminta mereka.
“Walaupun DAP mudah sikit, dia tak banyak soal, dia nak pergi ke kawasan dia boleh menang, dia tak minta banyak.
“Kita beri kawasan kepada DAP, walaupun saya yakin kalau boleh dapat lagi banyak, DAP lagi seronok” – FMT