Ibarat mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih. Situasi itu sesuai merujuk Umno-BN dan media arus perdana yang mencaci Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu kononnya menyokong komunis, tetapi terlupa bahawa kerajaan BN sendiri sudah lama bertoleransi dengan komunis.
Selepas terdedah ketokohan Mat Indera yang dibela oleh Mat Sabu diiktiraf oleh Kerajaan Umno Johor sebagai pejuang anti-British, kini terdedah satu lagi toleransi Umno-BN terhadap komunis.
Akhbar People’s Daily yang dimiliki Parti Komunis China telah enam tahun dibenar beredar dalam pasaran Malaysia. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendedahkan People’s Daily telah diberi permit mencetak dan dijual di negara ini sejak 2005 dan berterusan sehingga ke hari ini.
“Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 10 Januari 2005, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan permit kepada akhbar harian People’s Daily yang menjadi suara rasmi Parti Komunis China.
“Sepanjang aktifnya Parti Komunis Malaya di negara ini, tidak pernah sekali pun mereka mendapat permit untuk menerbitkan bahan bercetak mereka. Malangnya, pada tahun 2005, harian rasmi Parti Komunis China diberikan permit untuk diterbit, dicetak dan diedar di Malaysia,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan media.
Beliau mempersoalkan atas dasar apakah Mat Sabu dimaki hamun semahu-mahunya oleh kerajaan dan media BN sedangkan di belakang punggung pemimpin BN lidah rasmi parti komunis dibenarkan masuk ke ruang tamu rumah rakyat negara ini
“Kita kesal terhadap serangan berat sebelah media-media pro-Umno kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamed Sabu di atas isu membela tokoh kemerdekaan, Mohammad Indera. Tiada siapa di Malaysia yang meragui status Mohammad Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang telah berjasa kepada Malaysia.
“Namun, Haji Mohamed difitnah oleh media-media milik Umno kononnya beliau adalah seorang penyokong ajaran komunis.
“Ingin saya bertanya, apabila Umno meluluskan suara rasmi Parti Komunis China, adakah Umno juga telah menjadi penyokong ajaran komunis?” cela beliau.
Dalam carian Wikipedia jelas People’s Daily adalah akhbar milik parti komunis. Wikipedia dipetik: ‘People’s Daily adalah akhbar harian di China. Akhbar ini adalah suara rasmi Parti Komunis China’