Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Ir Khalid Samad berkata Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menang dan membentuk kerajaan di 5 negeri Semenanjung Malaysia.
PH juga, katanya, akan mendapat banyak kerusi parlimen di Malaysia Timur.
“Pandangan saya ialah Pakatan Harapan boleh menang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor.
“Ada peluang baik di Negeri Sembilan dan Melaka tetapi di Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu masih sukar diramalkan.
“Di Sarawak pula, PH mampu memenangi lebih kerusi Parlimen dan di Sabah kita ada peluang mencapai prestasi yang memuaskan jika dapat bekerjasama dengan baik bersama Parti Warisan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid menolak pendapat sesetengah penganalisis politik yang meramalkan PH tidak memberi banyak impak kepada BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14. Katanya, mood rakyat tidak boleh dipastikan dengan sampel kajian tetapi keadaan akan lebih real apabila turun padang dan menyaksikan sendiri keluhan mereka.
“Walaupun ada penganalisis politik berkata jumlah yang ramai di ceramah Pakatan bukan bermakna banyak undi akan berpihak kepada Pakatan, namun sekarang orang ramai yang jumpa saya di kedai, pasar dan sebagainya datang berbual dengan saya dan berkata mereka akan undi Pakatan.
“Ini bukan para hadirin di ceramah. Oleh itu, saya yakin mereka bercakap benar. Kalau tidak, mengapa mereka beritahu saya mereka akan undi PH?” tanya Khalid.
Beliau juga berkata rakyat telah faham isu-isu dan masalah sebenar yang dihadapi oleh negara. Menurutnya rakyat biasa merasai bahang kenaikan kos sara hidup sejak 5 tahun lalu dan BN gagal meyakinkan rakyat dengan pelan pemulihan ekonomi.
“Oleh yang demikian mereka berdepan kekalahan. Walaupun persempadanan baru akan diluluskan dalam sesi Parlimen Mac, ini tidak banyak membantu BN kalau lebih 50% pengundi Melayu berpihak kepada Pakatan.
“Selain dari itu, PH ada sokongan padu dari masyarakat Cina dan India,” jelas Khalid lagi.
Ahli parlimen Shah Alam itu juga berpendapat rakyat Malaysia sudah cukup ‘letih’ dengan pelbagai skandal BN dan bertekad untuk mengubah kerajaan.
“Tengoklah di Afrika Selatan. Parlimen di situ menggesa Presiden Jacob Zuma mengundurkan diri disebabkan amalan rasuah. Di seluruh dunia, rakyat mahukan kerajaan yang jujur, ikhlas, bersih dan berwibawa.
“Golongan usahawan juga semakin ramai sokong PH. Saya amat teruja dengan sokongan mereka. Mereka menyatakan sokongan sebab yakin PH mampu melaksanakan dasar ekonomi yang mesra rakyat dan satu daripada dasar itu ialah pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan,” tegas Khalid.