Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mungkin membenarkan diplomat Israel untuk menghadiri persidangan di negara ini tanpa persetujuan kerajaan Malaysia.
Oleh itu, beliau mendakwa kerajaan BN pimpinan Najib Razak hanya bersandiwara dan melepaskan tanggungjawab dengan menyatakan bahawa negara ini tidak terlibat dengan jemputan delegasi Israel untuk menyertai World Urban Forum.
“Ingin saya tegaskan tanpa persetujuan kerajaan Malaysia, mana mungkin PBB boleh mengundang Israel.Tanpa kebenaran Malaysia juga diplomat Israel tidak boleh masuk ke Malaysia,” kata Mahfuz dalam kenyataannya.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Luar Anifah Aman hari ini yang menyatakan, Malaysia tidak terlibat dengan jemputan delegasi Israel ke forum antarabangsa itu minggu lalu.
“Kenyataan Menteri Luar itu hanya sekadar untuk melepas tangan. Saya yakin bahawa segalanya hanyalah satu sandiwara antarabangsa Najib Razak yang sedang bermain dengan jiwa dan raga umat Islam Palestin dan penipuan serta pembohongan berterusan Umno-BN kepada rakyat Malaysia,” kata Mahfuz lagi.
Jelasnya, kerajaan Malaysia hanya mengeluarkan kenyataan tersebut untuk melepaskan tangan selepas dipertikai rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Israel ke atas Palestin.
Mahfuz merupakan antara 250 aktivis yang ditangkap dalam demonstrasi bagi membantah kedatangan pasukan kriket Israel ke negara ini pada 1997.
Beliau dan dua yang lain termasuk Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub didakwa dan dipenjara sebulan berikutan demonstrasi itu.
Mahfuz berkata sejak peristiwa tahun 1997 itu, rakyat Malaysia menunjukkan penentangan terhadap lawatan warga Israel.
“Telah jelas bahawa Malaysia tiada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan tiada siapa boleh memaksa dan mengarah kerajaan Malaysia untuk mengizin dan membenarkan sebarang hubungan, kerjasama hatta lawatan warga Israel ke Malaysia bersandarkan perlembagaan Malaysia,” katanya.
Namun beliau hairan kerana pegawai tinggi dalam kerajaan zionis itu dapat hadir dalam acara di Malaysia.
“Bagaimana pegawai tinggi Israel David Yitshak Roet yang merupakan bekas timbalan duta rasmi Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bekas menteri kabinet Israel, Ofir Pines-Paz bersama-sama beberapa pegawai kanan kerajaan zionis Israel boleh hadir dan berada dalam negara kita Malaysia?”.
Mahfuz seterusnya mempersoalkan sekiranya kelulusan dibuat secara khusus oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Adakah Imigresen Malaysia izinkan? Adakah polis Malaysia izinkan? Logiknya, hanya kerajaan Malaysia sahaja boleh mengatasi imigresen dan polis serta perdana menteri sahaja boleh memberi keizinan tersebut. Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa kepada semua perwakilan,” kata beliau.
Mahfuz juga berkata laporan media Israel jelas menunjukkan kepentingan dan kebergantungan politik dan ekonomi kerajaan Najib Razak kepada Israel walaupun tidak mempunyai hubungan diplomatik.
Beliau menambah ia seolah-olah menunjukkan Malaysia sedang “bersekedudukan” dengan negara Yahudi itu kerana mengadakan hubungan dagang yang rancak tanpa sebarang hubungan diplomatik.
“Lebih memalukan dalam laporan rasmi portal The Jerusalem Post dan The Times of Israel menyatakan sungguhpun Israel dan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, namun hubungan dagang antara Malaysia dan Israel sedang dan telah rancak berjalan,” katanya.
Mahfuz turut menyebut data yang menunjukkan nilai dagangan Malaysia-Israel pada 2014 – 2015 mencecah AS$1.5 billion.
Katanya, ia menunjukkan satu nilai yang cukup tinggi berbanding hubungan dagang dengan negara Islam lain.
“Dalam erti kata lain, hubungan Malaysia-Israel seperti pasangan yang tidak berkahwin tapi tinggal bersekedudukan bersama,” kata beliau.
Dalam kenyataan hari ini, Anifah menafikan bahawa Roet dan diplomat Israel yang memasuki Malaysia dijemput kerajaan.
Sebaliknya memenuhi jemputan agensi PBB melalui agensi badan dunia itu, iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.
“Kita ingin tegaskan tidak seperti surat jemputan kepada negara lain, surat undangan kepada Israel bukan ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.
“Sebaliknya, ia ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, selaras Perjanjian Negara Penganjur (HCA) yang dimeterai antara organisasi berkenaan dan Malaysia,” kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini. – TMI