Demi memastikan rundingan kerusi DUN berjaya dan Pakatan Harapan (PH) akan tampil sebagai gabungan yang kuat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14, PKR Pulau Pinang rela mengorbankan dua kerusi DUN milik parti itu untuk ditandingi anggota komponen PH yang lain.
Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, keputusan itu dibuat setelah melalui beberapa proses perbincangan yang panjang.
“PKR sememangnya terlibat dalam perbincangan tersebut dan memang setiap pengerusi parti perlu berbincang.
“Memang tidak mudah untuk menerimanya terutama apabila dua kerusi kami terpaksa dikorbankan. Cuma prinsip kita, mana-mana kerusi yang menang saja kita tak boleh dikorbankan,” katanya.
Menurut beliau, pengorbanan dua kerusi DUN itu dibuat atas semangat untuk memenangkan PH di semua kerusi.
“Kita nak Pakatan Harapan lebih kuat. Sebelum ini PKR tak menang di dua kerusi itu, jadi kita serah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk berdepan dengan calon Umno.
“Walaupun kerusi itu ditandingi oleh PPBM, kita akan bantu memastikan kemenangan Pakatan Harapan di Pulau Pinang,” katanya.
Sebelum ini, PH mengumumkan proses agihan kerusi DUN Pulau Pinang untuk menghadapi PRU14 selesai.
Keputusan itu menunjukkan DAP kekal bertanding di 19 kerusi Dun, PKR 14 kerusi Dun berbanding sebelum ini 16 kerusi, PPBM (4 kerusi) dan Amanah 3 (kerusi).