Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini membentangkan usul untuk menangguhkan sidang parlimen ke-13 sebelum usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempat dibahaskan.
Usul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 hari ini berada di kedudukan kedua dalam aturan mesyuarat hari ini, selepas Akta Tatacara Kewangan 1957.
Selepas sesi soal jawab, Azalina bangun membentangkan usul meminta Dewan Rakyat tidak ditangguhkan sebelum pindaan Akta Tatacara Kewangan.
Katanya, selain pindaan itu, kesemua perkara lain akan ditangguhkan, begitu juga dengan sidang Dewan Rakyat.
Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) kemudian bertanya apa sudah jadi kepada usul Hadi.
Rang Undang-undang persendirian itu bertujuan melipatgandakan hukuman bawah Akta 355 kepada 10 tahun penjara, denda RM100,00 dan sebatan syariah 100 kali.
Takiyuddin juga bertanya kepada speaker tidak menggunakan budi bicara untuk membenarkan perbahasan usul itu setelah urusan kerajaan selesai.
Pandikar berkata beliau terikat dengan Peraturan Tetap Order 15(1 yang membenarkan urusan kerajaan mengambil duluan dan Peraturan Tetap 12(1) yang membenarkan kerajaan menangguhkan perkara dalam aturan mesyuarat.
Katanya, usul Hadi dibenarkan dibentang tahun lalu kerana diminta dan dibenarkan kerajaan. – Mkini