Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Zainal Kling didakwa telah menyeleweng dari kajiannya sendiri apabila menyatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Fakta yang bercanggah itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Rozan mendakwa Zainal dalam satu kertas kerja yang dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan tahun 2005 telah menulis bahawa Tanah Melayu sememangnya telah dijajah oleh British secara terang dan jelas.
“Kenyataan Dr Zainal Kling dalam sidang medianya baru-baru ini adalah tidak bertanggungjawab. Ia merupakan jenayah akademik yang serius
“Saya suka mendedahkan tulisan Dr Zainal pada 2003, beliau sendiri pernah berkata Tanah Melayu adalah jajahan. Semua fakta itu terangkum dalam buku bertajuk Minda Melay pada muka surat 54
“Saya bacakan tulisannya: ‘Kedatangan Barat adalah kehadiran penjajahan dan penaklukan di alam Melayu walau apa pun nama yang digunakan untuk memerikan fenomena ini – berdagang, naungan, koloni, jajahan dan pembukaan.Kini penjajahan dan penaklukan menjadi norma hubungan antarabangsa dan negara”, jelas Rozan.
Sementara itu, wakil Parti Sosialis Malaysia, Siva menolak putar belit sejarah yang dilakukan Majlis Profesor Negara sebagai percubaan untuk mengampu sesebuah perikatan politik dan menafikan jasa pihak lain dalam perjuangan kemerdekaan
“Bagi kami sejarah tidak boleh diputar belit dan perlu bukti kukuh (dalam argumentasi). MPN cuba untuk menjustifikasikan sesetengah parti politik. Mereka perlu menarik balik kenyataan media yang dikeluarkan itu,” katanya.
Siva membawakan contoh penjajahan yang nyata di Tanah Melayu apabila British mengambil hasil bumi dan membawanya pulang ke Great Britain.
“Siapa yang kawal ekonomi sepenuhnya, dikawal oleh syarikat British dan pentadbir British. Raja-raja Melayu hanya mengawal hal-hal berkaitan agama dan adat istiadat sahaja. Malah ketika itu British menggelarkan Tanah Melayu sebagai ‘dollar arsenal’. Melambangkan betapa pentingnya kekayaan ekonomi yang mereka dapat dengan menjajah negara ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, wakil dari parti PAS, PKR, Dema dan PSM membuat satu laporan polis di balai polis Lorong Hj Taib, Kuala Lumpur mendesak MPN dan Prof Zainal disiasat atas dakwaan menimbulkan kegemparan awam dengan kenyataan mereka yang tidak bertanggungjawab memesongkan sejarah yang telah diajarkan di sekolah sejak sekian lama mengesahkan Tanah Melayu dijajah British