PKR menerima baik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bahawa suruhanjaya itu tiada halangan jika Pakatan Harapan (HARAPAN) mengguna pakai logo parti itu pada pilihan raya umum ke14 (PRU14).
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata parti itu mengulangi kesediaan membenarkan kesemua calon HARAPAN menggunakan logonya.
“PKR mengulangi kesediaan kami membenarkan penggunaan simbol atau lambang PKR bagi kesemua calon Pakatan Harapan yang akan bertanding dalam PRU14.
“Kesediaan kami ini adalah berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan di antara semua parti dalam Pakatan Harapan untuk membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik,” jelas dalam kenyataannya.
Mohd Hashim hari ini berkata SPR tiada halangan untuk membenarkan HARAPAN mengguna pakai simbol atau lambang PKR pada PRU14.
Beliau berkata mana-mana calon yang berhasrat bertanding atas tiket PKR dan menggunakan simbolnya tertakluk kepada kebenaran daripada parti itu sendiri dan bukannya SPR.
Kenyataan itu dibuat selepas Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa SPR enggan bertemu dengan gabungan pembangkang itu bagi menjelaskan berkaitan penggunaan logo dan simbol PKR pada hari pengundian, 9 Mei ini.
Sementara itu, Fahmi berkata PKR menggesa semua pengundi segera menyemak tempat mengundi dan bersedia untuk pulang menunaikan kewajipan mereka.
Ini katanya, termasuk menjadi sukarelawan ejen mengundi dan ejen mengira (PACA) bagi calon-calon Pakatan Harapan untuk mempertahan demokrasi dan masa depan negara. – Mkini