AMANAH Perlis yakin akan ada perubahan besar di Perlis menjelang pilihan raya umum ke 14 yang akan datang, Pengerusi AMANAH Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim.
Menurut beliau kesepakatan dalam Pakatan Harapan (PH) Perlis kali ini mampu membawa kejutan yang tidak dijangka oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Dalam PRU yang lalu, PKR berjaya menang di Dun Indera Kayangan dan Pas di Sanglang ketika berada dalam Pakatan Rakyat.
“Walau bagaimana pun senario politik pada ketika ini amat jauh berbeza dengan apa yang ada dalam PRU ke 13 yang lalu.
“PH mampu membawa kejutan yang tidak disangka-sangka oleh BN menjelang PRU Mei nanti, ” jelasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PH Perlis turut berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua komponen dalam PH di Perlis amat memberangsangkan.
Malah katanya, bukan saja gerak kerja dilaksanakan secara konsisten, sebaliknya sokongan oleh akar umbi semakin mencambah.
“Bagi kerusi Dun Beseri yang pernah saya tandingi atas tiket Pas dalam PRU yang lalu, BN hanya menang dengan kelebihan 540 undi.
“Tapi kali ini, ‘mood’ rakyat sudah berubah, mereka semakin muak dengan pelbagai kerenah pimpinan Umno dan BN samada diperingkat negeri maupun peringkat Pusat.
“Yang penting bagi rakyat ialah perubahan kepimpinan negara daripada BN kepada PH sebagai pemerintah, ” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, majoriti undi hanya 121 yang diperolehi oleh Pas bagi kerusi Dun Sanglang dalam PRU yang lalu, bukan suatu kesukaran bagi AMANAH dan PH untuk merampas kerusi tersebut.
“Calon AMANAH yang mewakili PH akan memastikan majoriti yang begitu tipis dalam PRU yang lalu bagi kerusi Dun Sanglang, dapat membawa perubahan kali ini.
“Walaupun hanya empat kerusi yang ditandingi oleh AMANAH kali ini, kita optimis komponen lain yang ada seperti Bersatu, PKR dan Dap mampu mengakses segala jentera yang ada bagi memenangkan calon PH.
“Kesungguhan ini telah pun terbukti dengan kerjasama yang erat dalam pelbagai program dan aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan, ” katanya lagi.
Sehubungan itu tambahnya, adalah tidak mustahil akan adanya perubahan yang amat besar bagi kerajaan Perlis yang akan menerajui kepimpinan menjelang PRU Mei nanti. – MD