Bekas calon AMANAH kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016, menyifatkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muslimin Yahaya yang mewakili Pakatan Harapan (PH), akan dapat menewaskan Datuk Budiman Mohd Zohdi (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.
Pengerusi AMANAH Kawasan Sungai Besar Azhar Abdul Shukur berkata, suasana PRU14 kali ini amat berbeza ketika PRK dua tahun lalu.
“Pada 2016 kita dapati PRK di Sungai Besar satu suasana yang mana satu Malaysia pemimpini dan penyokong parti yang bertanding datang ke sini berkempen.
“Hari ini satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, apabila Pakatan Harapan mengunakan satu simbol. . Kita tidak nampak mana satu calon parti yang bertanding, apa yang kita nampak hanya calon Pakatan Harapan.
“Malah kali ini kita juga tidak kenal jentera-jentera parti yang hadir kerana mereka dilihat semua sama. Ini kelebihannya apabila kita bergabung,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Kenangan: Azhar (kanan) ketika hari penamaan calon bagi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016 bersama dua lagi pencabarnya Datuk Budiman Zohdi (tengah) dan Dr Abdul Rani (kiri)
Pada PRK 2016 Budiman menang majoriti 9,191 undi mengatasi Azhar yang memperoleh 7,609 undi dan Dr Abdul Rani Osman dari Pas sejumlah 6,902 undi. Pada tahun itu dua PRK diadakan serentak di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ini berikutan kematian dua wakil rakyat Umno, Allahyaraham Datuk Noriah Kasnon dan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Dengan perbezaan undi sejumlah 707 undi, Azhar menyakini dengan meletakkan calon PH Muslimin Yahaya bekas ahli Umno dan anak jati Sungai Besar dijangka akan dapat mengurangkan perbezaan undi calon Pas.
Begitu juga dengan kekuatan PH yang mempertaruhkan Naib Pengerusi AMANAH Selangor Mariam Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Ustazah Mariam di N03 Sungai Panjang.
Pada PRU13 Budiman bertanding di Dun Sungai Panjang tidak mempertahankan kerusinya pada PRU14 tetapi Pas masih mengekalkan pencabarnya Mohd Fadzin Taslimin di kerusi sama.
” Kita ketahui Sungai Panjang kubu kuat BN. Kita dapati pada PRU13 lalu BN hanya menang majoriti tipis 2,183 undi dengan calon Pas.
“Kali ini berlaku tiga penjuru di Sungai Panjang.Kita pasti calon Pakatan Harapan akan dapat mengurangkan majoriti dimenangi BN dan undi yang diperoleh Pas,” ujarnya.
Ditanya nama beliau tidak disenaraikan oleh kepimpinan AMANAH di kerusi Parlimen Sungai Panjang kerusi yang diperuntukan kepada parti itu, Azhar berkata, beiau menerima keputusan kepimpinan partinya sebagai satu keputusan bersama pimpinan dalam Pakatan Harapan yang seharusnya diterima dengan hati terbuka.
“Oh… saya tidak boleh buat pelbagai ulasan mengenainya (pemilihan calon), tidak ada apa yang kurang. Saya masih boleh membantu calon yang ada walaupun saya tidak terpilih menjadi calon,” ujarnya yang tidak menyangkal ramai menjangkakan beliau antara nama yang disebut-sebut sebelum ini akan kembali menentang regunya Budiman di kerusi Sungai Besar, namun dengan keputuan pembahagian kerusi PH di Negeri Selangor memutuskan hanya kerusi Sungai Panjang untuk AMANAH. – MD