Masyarakat Orang Asli di Perak dalam misi menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa lalai dan memusnahkan tanah adat mereka.
Tok Batin Gahrai Kadek, 77, penasihat kanan suku Semai untuk Tok Batin di Malaysia memberitahu FMT, beliau mengarahkan seluruh suku Semai di Malaysia menolak BN kerana menceroboh tanah adat Orang Asli.
“Orang Asli hidup aman damai jauh di dalam hutan, tidak ada sebarang peluang ekonomi, makan ubi kayu 3 kali sehari daripada teringin sepinggan nasi dan tidak mempunyai sebarang bekalan elektrik atau air.
“Apa yang kami tidak boleh terima adalah pencerobohan di tanah kami (dilindungi oleh hak undang-undang biasa), di kubur nenek moyang kami, sungai di mana kami mandi, minum dan menjala ikan serta hutan di mana kami menanam ubi kayu, keladi dan pisang untuk dimakan.”
Ketua Kampung Gesau Pos Slim di Slim River itu berkata, kerajaan menceroboh tanah Orang Asli dan membuka ladang kelapa sawit, loji hidro elektrik, kawasan perumahan untuk orang luar dan pusat peranginan di tepi sungai.
“Kami bertolak ansur lebih 60 tahun, tetapi kami tidak akan benarkan mereka merampas tanah pusaka kami dan memusnahkan sungai kami. Kami dipinggirkan sebelum mereka melakukan semua itu.”
Kampung Gesau Pos Slim ialah satu daripada banyak kampung yang terletak di dalam hutan Slim River dan Behrang di Parlimen Tanjong Malim.
Penasihat Kampung Tibang, Tok Puit Nai, 78, berkata kebimbangan terbesar penduduk kampung ialah tanah mereka tidak diwartakan dan orang luar yang menceroboh tanah berhampiran kampung mereka mungkin merampas rumah mereka selepas ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai loji hidro elektrik yang dibangunkan Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC) di sepanjang sungai bersebelahan kampung itu.
Sungai itu, katanya, kini tercemar dan tidak sesuai untuk ikan atau bermandi-manda.
Ketua Kampung Keding, Yuk Lupa, 60, berkata kerajaan BN mengambil 60 tahun untuk membina jalan ke kampungnya.
“Ini bukan permintaan kami sekarang, ini adalah permintaan sejak zaman datuk nenek kami dan akhirnya mereka memberi kami jalan.
“Ya, ada ugutan untuk mengambil tanah kami dan ini menyebabkan kami hilang kepercayaan terhadap kerajaan, jadi saya tidak mahu mengundi pada hari pengundian nanti,” katanya.
Prima, 32, dari Kampung Pos Tenau, ketika ditemui dilihat membalut bendera PKR di bahunya.
“Kerana kerajaan BN, hari-hari saya makan ubi kayu. Dia cakap manis, tapi rupa-rupanya tak manis.
“Saya mengundi PKR dan Tun Dr Mahathir Mohamad harap-harap bantulah Orang Asli, terutama hormati hak Orang Asli,” katanya.
Terdapat hampir 1,600 penduduk tinggal di Kampung Tenau.
Penduduk kampung yang ditemui FMT berkata, mereka terpaksa bergantung hidup kepada ubi kayu kerana tiada peluang ekonomi di sana.
Pencerobohan tanah adat Orang Asli memaksa mereka berhijrah jauh ke dalam hutan dan keadaan bertambah teruk kerana tiada mata pencarian yang menjadikannya hampir mustahil untuk mereka berpindah ke bandar memandangkan mereka tiada cara untuk berbuat demikian. – FMT