Beberapa pendedahan mengenai salah-laku Peguam Negara Abdul Gani Patail semakin menjolok mata dan mengundang tanggapan negatif rakyat ke atas institusi pejabat Peguam Negara. Terbaharu Gani didakwa menerima pembayaran pengubahsuaian rumah dari sebuah syarikat pembinaan Ho Hup. Selain itu, beberapa surat dari bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Mat Zain Ibrahim yang membongkar pembabitan Gani dalam pemalsuan bukti kes Anwar Ibrahim juga menjadi tanda tanya berkenaan integriti Gani yang namanya mula terkenal selepas berjaya memenjarakan Anwar.
Naib Presdien PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat salah laku Gani bagi membersihkan institusi Peguam Negara dari sebarang pencemaran jenayah mahu pun penyelewengan.
“Dakwaan salah-laku Gani Patail merupakan pencemaran terhadap institusi Peguam Negara. Keluhuran institusi amat ini perlu dijaga agar tidak dipertikaikan masyarakat
“Dakwaan terbaru bahawa syarikat pembinaan Ho Hup membayar kos pengubahsuaian rumah Gani telah mencemarkan institusi berkenaan. Sebelum ini, Gani juga didakwa terlibat dengan rasuah. Beliau juga didakwa campurtangan dalam perjalanan perbicaraan Anwar Ibrahim dan perbicaraan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.
“Saya menuntut kerajaan membersihkan nama baik Pejabat Peguam Negara dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyisata salah-laku Gani Patail dalam kadar segera,” ujar Mahfuz dalam sidang media di Pejabat Agung PAS kelmarin.
Kata Mahfuz, Gani seolah-olah tidak mampu bertindak ke atas pendedahan yang mencemarkan nama baiknya dan institusi yang diwakilinya. Sekiranya Gani tidak bersalah, menurut Mahfuz, beliau boleh menyaman pihak yang mendedahkan salah lakunya. Namun Gani tidak berbuat demikian dan hanya mendiamkan diri. Sikap itu tidak sesuai dengan sifat manusia yang berintegriti.
“Mungkin untuk menyaman Raja Petra yang mendedahkan salahlaku Peguam Negara adalah sukar kerana penulis itu berada di London. Tetapi tidak susah untuk mengambil tindakan ke atas Mat Zain yang berada di negara ini
“Apa yang berlaku Gani tidak ada kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu tersebut
“Saya memberikan tempoh munasabah kepada kerajaan membentuk Suruhanjaya Di Raja. Sekiranya tidak berlaku apa-apa tindakan, saya akan menggerakkan satu usaha mengumpul petisyen dari kalangan NGO dan parti Pakatan Rakyat untuk diserahkan kepada yang Dipertuan Agong bagi membentuk suruhanjaya itu,” tegas Mahfuz.
Menjawab soalan wartawan mengapakah perlu suruhajaya dibentuk sedangkan Mahfuz belum melaporkan hal itu kepada SPRM, beliau menjelaskan suruhanjaya lebih layak menyiasat kerana salah-laku Peguam Negara terlalu banyak dan dalam pelbagai perkara sensitif yang lebih layak bagi sebuah suruhanjaya menanganinya.