Dewan Pemuda PAS Negeri Perak terkejut dengan penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) yang telah diadakan di Ipoh pada 23 hingga 25 September baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh program konsert yang telah dianjurkan itu jelas tiada bezanya dengan konsert ‘SureHeboh’ atau ‘JomHeboh’ TV3 yang telah diharamkan pada Julai 2004 dahulu melalui keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia yang telah ditegaskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria. Jomheboh tidak lagi dibenarkan diadakan di Negeri Perak sehingga kini.
“Malangnya, pengisian konsert yang lebih kurang sama dengan ‘JomHeboh’ tersebut telah diadakan juga atas nama ‘Gegaria’ yang mana tidak mengambil kira pandangan Majlis Mufti Malaysia yang meletakkan program seumpama ini sebagai program yang melalaikan.
“Difahamkan acara konsert diadakan selepas ucapan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir untuk Majlis Perlancaran Logo Tahun Melawat Negeri Perak 2012 dan konsert dimulakan selepas itu dalam keadaan waktu lewat malam.
“Kami amat kesal kerana ianya turut melibatkan artis-artis wanita dan tiada pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan wanita disediakan oleh penganjur pada konsert tersebut,” katanya.
Salman kesal kerana penganjur khususnya Kerajaan Negeri Perak tidak mendapatkan nasihat daripada mufti terlebih dahulu sebelum menganjurkan konsert berkenaan
“Kami melihat kegagalan Datuk Hamidah Osman sebagai orang yang bertanggungjawab dalam program seumpama ini tidak melihat perkara-perkara tersebut serta mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada Tan Sri Harussani di dalam perkara ini.
“Kami mempersoalkan konsert yang tidak bermoral itu dan ianya jelas bertentangan dengan gesaan Majlis Mufti Malaysia agar konsert yang melalaikan atas nama apa sekali pun wajib disekat atau dihalang sama sekali. Kami turut kesal terhadap Datuk Seri Zambry dan Datuk Hamidah yang gagal memastikan keputusan Majlis Mufti Malaysia dikuatkuasakan di Negeri Perak,” ujarnya.