Pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pelajaran semalam menimbulkan perbincangan di kalangan warga maya tetapi ahli akademik Faisal Hazis mempertahankan anggota BERSATU itu.
“Kami mengutuk orang yang mempersoalkan etnik Lim Guan Eng ketika dia dilantik sebagai menteri kewangan tetapi kami membenarkan orang ramai mempersoalkan keagamaan Maszlee.
“Marilah kita menilai beliau berdasarkan agenda reformasinya, bukan latar belakang etnik atau agamanya dan kita harus memuji usaha HARAPAN meletakkan muka baru daripada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam kabinet. Ini patut disokong dan tidak dikutuk,” kata Faisal kepada Malaysiakini.
Profesor Madya Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Faisal Hazis (gambar, bawah) juga menyebut pelantikan Maszlee menunjukkan kepercayaan HARAPAN kepada bekas penysrah itu bagi melaksanakan agenda reformasi mengikut manifesto gabungan itu.
“Ia bukan urusan seorang individu sahaja, beliau diamanahkan untuk melihat visi dasar pendidikan kerajaan yang baru.
“Ramai orang mempertahankan Hannah Yeoh mengenai latar keagamaannya dan mengapa kita perlu membenarkan orang ramai untuk mengkritik Maszlee atas alasan serupa. Itulah kehidupan peribadi mereka dan keyakinan peribadi mereka.
“Maszlee mempunyai kewibawaan akademik untuk memimpin kementerian pendidikan, itu yang paling penting,” kata Faisal.
Maszlee Malik menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU14 mengalahkan penyandang Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng. Maszlee mendapat majoriti sebanyak 3,475 undi.
Terdapat dakwaan ‘aliran liberal’ yang menuduh Maszlee sebagai ‘ektremis’ kerana pertalian keluarga dengan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, Almarhum Syeikh Hassan al-Banna.
Selain itu, terdapat juga dakwaan ‘aliran Islamis’ yang mendakwa Maszlee sebagai seorang yang proliberalisme dan pluralisme.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan 13 menteri awal pada 19 Mei lalu setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Maszlee Malik akan mengangkat sumpah jawatan pada pagi Isnin di Istana Negara. – Mkini