Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) yakin keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini tidak menafikan usaha Kerajaan PAS Negeri Kelantan untuk melaksanakan Hukum Hudud semenjak ianya diluluskan pada tahun 1993.
Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Raja Ahmad Al-Hiss, perlaksanaan hukum Hudud hanya terhalang oleh tindakan ahli politik BN yang dari dahulu hingga sekarang menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Bagaimanapun baru-baru ini, katanya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta agar kerajaan Pusat tidak menghalang Hudud dilaksanakan. Kenyataan itu, bagi Dr Raja Ahmad adalah satu pandangan yang bijak dari generasi pemimpin baru Umno.
“Sedikit nafas baru daripada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin yang menyatakan pendirian berjiwa besar meminta tidak menghalang PAS melaksanakan Hukum Hudud.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Khairy dan kami berharap beliau dapat suarakan hasrat sokongan tersebut pada Sidang Dewan Rakyat awal Oktober ini. Suara Khairy itu nanti menunjukkan keseriusan kenyataan awalnya bagi menyokong pelaksanaan Hudud tersebut.
“Kami harapkan ramai lagi Ahli Parlimen BN yang beragama Islam tidak curiga akan pelaksanaan Hudud ini dan berharap akan menyokong pandangan Khairy nanti di dalam Parlimen.
“Bagi kami biar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberikan alasan mereka tetapi Ahli Parlimen BN yang lain yakin bahawa Hukum Hudud ini sebahagian daripada apa yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran,” katanya.
Wilayah autonomi Acheh di Sumatera Utara , Indonesia telah melaksanakan Hukum Hudud sejak beberapa tahun lalu. Berbanding Malaysia yang mana Hudud mendapat tentangan hebat terutama dari kalangan rakyatnya yang bukan beragama Islam, perlaksanaan Hudud di Acheh tidak ditentang oleh warga Indonesia. Terutamanya masyarakat Kristian Indonesia yang menguasai jawatan tinggi perkhidmatan awam dan merupakan pemimpin tinggi parti-parti politik utama di negara itu. Masyarakat Malaysia, khususnya etnik Cina seharusnya belajar bertoleransi dalam menerima perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan sebagaimana dilaksanakan di wilayah Acheh Indonesia. Hudud tidak menyentuh masyarakat bukan Islam di Indonesia, begitu jugalah sekiranya hukum itu dipraktikkan di negara ini