Anwar Ibrahim mengadap Raja-Raja Melayu sejak minggu lalu bertujuan untuk membina hubungan baik antara istana dengan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.
Ketua umum PKR itu juga berperanan menjelaskan dasar dan komitmen kerajaan baru di Putrajaya, yang tidak sama seperti Barisan Nasional (BN) dulu, tambah beliau.
Menurut Saifuddin, Anwar menerangkan kedudukannya itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad.
Penerangan Anwar itu diambil maklum oleh semua pimpinan tertinggi PH yang lain, jelasnya.
“Perkara itu tadi diterangkan Anwar dalam mesyuarat, dalam konteks ada keperluan untuk kepimpinan PH membuat engagement dengan institusi diraja.
“Antara pimpinan senior PH, Anwar berjawatan ketua umum dan ia dilihat penting kerana PH ini kerajaan baru. Sebelum ini institusi diraja hanya berhadapan dengan BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anwar sejak keluar penjara selepas pengampunan penuh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mengadap empat Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.
Pertemuannya itu dikritik sebagai membelakangkan kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, terutama selepas tular gambar beliau mencium tangan Sultan Johor minggu lalu.
Ditanya mengenai kritikan itu, Saifuddin meminta pengkritik terlibat melihat apa yang berlaku dari sudut positif iaitu PH memerlukan hubungan baik dengan istana sementara Anwar yang tiada jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir ada masa untuk jadi jambatan hubungan itu.
“Sebagai kerajaan baru sudah tentu penerangan tentang dasar, polisi dan komitmen PH disampaikan secara langsung oleh seorang pemimpin PH. Itu lebih molek disampaikan secara berdepan, juga dapatkan maklum balas daripada institusi raja itu sendiri untuk perjalanan sebuah kerajaan yang baru,” katanya.
Saifuddin, yang menjadi orang kuat Anwar sejak dalam kedua-dua dalam Umno sebelum September 1998, tegas menafikan hubungan Dr Mahathir dengan bekas timbalannya itu tidak baik.
Beberapa pimpinan PH yang lain juga mengesahkan kunjungan Anwar bertemu Raja-Raja Melayu dan kerabat itu dalam pengetahuan Majlis Presiden PH.
Anwar dan Dr Mahathir menjadi seteru politik selama dua dekad selepas dipecat daripada Kabinet Dr Mahathir dan Umno pada September 1998. Menjelang PRU14, kedua-duanya berdamai dan menjalin kerjasama politik dengan matlamat menumbangkan BN dari kerusi kuasa.
Antara persetujuan kerjasama dalam PH itu ialah Dr Mahathir jadi perdana menteri sementara dan akan digantikan oleh Anwar.
Anwar sejak bebas penjara enggan mengulas secara langsung soal itu sebaliknya berkata beliau ada “beberapa komitmen lain” termasuk menyampaikan syarahan di luar negara.
Anwar setakat ini hanya menyebut tentang kemungkinan beliau ke Parlimen sebagai wakil rakyat sebelum akhir tahun ini.
Anwar semalam mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, selepas dua hari sebelumnya mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Minggu sebelumnya pada 22 Mei, Anwar dijemput ke Istana Pasir Pelangi berbuka puasa bersama Sultan Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Mahkota Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Beliau pergi bersama anaknya, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh.
Seminggu yang lalu, Anwar dilaporkan mengadap Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra di Istana Mahkota, Kota Bharu.
Beliau dan keluarga ke Kelantan mengiringi isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri mengadap bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Kunjungan itu turut mencetuskan khabar angin kononnya Nurul Izzah akan dikahwinkan dengan Sultan Muhammad V, namun ditepis sebagai “berita palsu” oleh keluarga Anwar. – TMI