Dalam ucapan di Parlimen mengusulkan pemansuhan Akta Kediaman Terhad beru-baru ini Perdana Menteri Najib Razak terpaksa mengakui akta berkenaan adalah tidak selaras dengan nilai-nilai Islam dan norma demokrasi. Bagaimanapun akta terbabit selama puluhan tahun telah menghadkan pergerakan ribuan rakyat Malaysia selama perlaksanaannya
Sehubungan itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr Raja Ahmad Al Hiss menuntut agar Perdana Menteri memohon maaf di atas ketelanjuran kerajaan Barisan Nasional yang telah menguat-kuasakan akta tersebut sepanjang berpuluh-puluh pemerintahannya. Katanya, permohonan maaf perlu dilakukan oleh sesebuah kerajaan yang berintegriti ketika menarik balik sesuatu perkara yang telah terbukti menganiaya rakyat atau menyusahkan kehidupan mereka.
“Walaupun Datuk Seri Najib menafikan perubahan lanskap sosiopolitik dan ekonomi negara menjadi faktor pemansuhan tersebut. Bagaimanapun beliau mengakui memahami undang-undang serta amalan akta itu tidak selaras dengan prinsip asas demokrasi dan keadilan.
“Selain itu, Datuk Seri Najib juga cuba menguatkan hujahnya mengatakan tindakan Barisan Nasional (BN) seiring dengan semangat maqasid syariah dan prinsip usul fekah bahawa perkara yang yakin itu tidak akan diselindungi yang syak .Malah Datuk Seri Najib juga mengakui bahawa hukuman yang selama ini dijalankan melalui akta itu tidak menepati hukum dalam Islam.
Oleh itu, jika Kerajaan BN telah mengakui kesilapan yang dilakukan, kami mendesak agar mereka memohon maaf secara terbuka kepada seluruh mangsa yang dikenakan tindakan zalim tersebut. Datuk Seri Najib dan BN perlu ikhlas bagi membuktikan kerajaan benar-benar serius dalam melaksanakan tuntutan demokrasi,” kata Dr Raja Ahmad.
Selasa lalu, selaras dengan usul pemansuhan Akta Kediaman Terhad Perdana Menteri mengumumkan untuk membebaskan seramai 125 orang yang dikenakan perintah tahanan kediaman terhad. Yang mana serentak itu juga, kerajaan membatalkan sebanyak 200 waran perintah sama yang belum diserahkan kepada individu berkenaan kerana mengakui undang-undang tersebut sudah lapuk serta tidak lagi relevan.