Kerajaan menetapkan harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan masing-masing pada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter, manakala harga RON97 akan mula diapungkan setiap minggu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata harga semasa RON97 pada RM2.66 seliter akan dikekalkan sehingga 13 Jun, 2018.
“Kerajaan menanggung subsidi sebanyak 33 sen seliter bagi produk RON95 dan diesel. Ini bermakna tanpa subsidi minyak yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan PRU14, harga RON95 dan diesel masing-masing akan meningkat kepada RM2.53 dan RM2.51 seliter,” katanya hari ini.
Lim berkata harga minyak mentah dunia mencecah AS$76 (AS$1=RM3.97) setong, manakala harga produk petrol dan diesel yang ditapis antara AS$87 dan AS$88 setong.
Beliau juga berkata kerajaan memperuntukkan RM3 billion sehingga hujung 2018 untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel. – FMT