Lawatan PM Tun Mahathir Mohamad ke Jepun bermula hari ini selain mahu menarik pelaburan langsung Jepun ke Malaysia juga dianggap cuba menamatkan pergantungan Malaysia kepada modal China yang berleluasa dibawa masuk oleh PM Najib sejak 5 tahun lalu.
Sehubungan itu, Tun melancarkan semula dasar ‘Pandang Ke Timur’ yang telah diamalkan pentadbiran beliau pada era 1980an dan 1990an lalu.
Mengulas hal itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Ir Khalid Samad berkata dasar tersebut diterima baik oleh rakyat kerana telah membuktikan keberkesanannya memajukan Malaysia sejak 30 tahun lalu.
“Dasar ini baik tetapi tidak bererti kita akan menutup mata kepada kebaikan dari negara-negara lain di rantau ini selain daripada Jepun.
“Saya percaya Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) akan mengamalkan dasar bekerjasama dengan seberapa banyak negara yang boleh demi menggalakkan perdagangan dan persahabatan serantau.
“Buat masa ini, dasar tersebut adalah langkah yang tepat untuk membawa Malaysia ke era baru sebab kita sebagai rakyat perlu berusaha dengan dedikasi yang lebih kuat lagi untuk mengatasi masalah hutang RM1 trilion.
“Umum tahu, rakyat Jepun dikenali sebagai rakyat yang paling rajin didunia disebabkan oleh patriotisme mereka dan kita perlu mencontohi mereka untuk membawa Malaysia mara ke depan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, bagi Albert Kwok, seorang usahawan hartanah, beliau menyokong kepimpinan Tun Mahathir yang telah membuktikan kehebatannya sepanjang menjadi PM dari tahun 1981 hingga tahun 2003.
Katanya, usahawan Cina menyokong semua langkah pemulihan ekonomi Tun semenjak 11 Mei lalu sehingga hari ini, termasuklah langkah memperkenalkan semula dasar pandang ke timur.
“Dasar ‘Pandang Ke Timur’ adalah satu dasar yang ‘forward-looking’ (pandang ke depan) yang akan menambahkan nilai kepada ekonomi negara kita.
“Kami golongan usahawan amat yakin dengan pentadbiran Tun Mahathir. Walaupun kali ini rakyat Malaysia berdepan dengan hutang yang amat tinggi yang diwarisi dari pentadbiran BN, namun kami yakin dengan peningkatan perdagangan dari lain-lain negara di dunia, kami mampu mengatasi cabaran hutang itu.
“Apa yang penting sekarang ialah nama negara telah dibaikpulih oleh Kerajaan PH dan dengan ini banyak negara akan percaya dengan kita.
“Kegiatan ekonomi akan bertambah pesat selepas ‘kelembapan’ dan ‘slow down’ semasa era pentadbiran Najib yang dipenuhi dengan projek-projek mega membazir dan tidak menguntungkan rakyat,” jelas Kwok.