Anwar Ibrahim masih mahu namanya dibersihkan menerusi mahkamah, walaupun bersyukur dengan pengampunan diraja yang diterimanya bulan lalu yang membolehkan beliau dibebaskan dari penjara.
Ketua umum PKR itu mengarahkan peguamnya yang berpangkalan di United Kingdom untuk terus mencari sampel DNA yang diambil daripadanya semasa prosiding perbicaraan kes liwat kedua pada 2014, lapor laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report.
Anwar berkata keputusannya untuk tidak menggugurkan prosiding dalam kesnya akan menguji sejauh mana kebebasan istem perundangan negara dan komitmen kerajaan baru terhadap kedaulatan undang-undang.
“Saya mahu [kes saya] dibentangkan dan dikaji semula di mahkamah dan seterusnya dihakimi berdasarkan prinsip undang-undang sebenar – ini akan menunjukkan permulaan keadilan di Malaysia” kata Anwar pada persidangan di London semalam.
Beliau berkata kes ini akan membuktikan kerajaan Pakatan Harapan tidak mengawal proses kehakiman dan undang-undang.
“Siapa perdana menteri, tidak kisah, kami komited,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri yang dibebaskan dari penjara selepas pengampunan diraja bulan lalu, memberitahu para peserta persidangan itu Yang di-Pertuan Agong benar-benar percaya beliau tidak bersalah.
Anwar kemudian menegaskan ramai yang menderita di bawah proses undang-undang kuno di Malaysia dan beliau mempunyai kelebih unik sebagai ahli politik menyaksikannya sendiri dengan menyertai mereka dalam penjara.
Beliau berkata pengalaman itu menjadikannya seorang penyokong ke arah pembaharuan terhadap penjara dan hukuman.
Queen’s Counsel David Bentley yang mewakili Anwar berkata ia adalah satu cabaran yang sukar untuk membuka semula kes itu, tetapi akanberbuat demikian atas permintaan anak guamnya.
Peguam Anwar mendakwa bukti DNA dalam perbicaraan liwatnya diperoleh melalui penipuan.
Bentley menegaskan bbukti DNA penting yang digunakan terhadap Anwar didapati tidak mencukupi oleh Mahkamah Tinggi dan beliau dibebaskan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan dan menghukum Anwar pada Mac 2014 kerana meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.
Anwar merayu terhadap keputusan itu, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan keputusan.
Anwar dijangka menjadi perdana menteri kelapan selepas Dr Mahathir Mohamad turun, kemungkinan dalam dua tahun, berdasarkan perjanjian di kalangan pemimpin Pakatan Harapan. – TMI