Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan tidak berlaku pembaziran seteruk era pemerintahan BN yang membayar gaji penasihat bekas perdana menteri Najib Razak sehingga RM200,000 sebulan, sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, pembayaran seperti itu menyebabkan rakyat dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan untuk mengisi kantung kerajaan yang sering tiris.
Justeru, menurut beliau, tidak akan ada lagi penyelewengan mandat rakyat boleh dibenar berlaku pada era kerajaan baharu.
“Angka RM200,000 itu jelas pembaziran duit rakyat.
“Ini menunjukkan bekas perdana menteri membuat pembayaran tanpa memikir panjang-lebar tentang keadaan kewangan negara dan hanya membazir duit dengan sewenang-wenangnya ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi akibat GST yang dilaksanakan pada April 2015.
“Saya berpendapat kerajaan BN percaya pemberian BR1M akan selesaikan semua masalah kewangan (memujuk) rakyat untuk 1 tahun,” kata ahli parlimen Ipoh Barat itu.
Mengulas isu sama, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata, pembayaran gaji setinggi itu mungkin penyebab menggunungnya hutang negara ke angka RM1 trilion.
“Gaji RM200,000 itu barangkali menyumbang kepada hutang RM1 trilion memandangkan Kerajaan BN telah menggaji seramai 17,000 pegawai politik (political appointees) dalam jawatan-jawatan yang sebenarnya tidak diperlukan.
“Dari sini nampaknya pentadbiran Najib bukan sahaja boros dan bodoh melampaui batas tetapi sudah sampai ke tahap ‘gila’. Satu perkataan yang (saya kira) memberi diskripsi tepat kepada pentadbiran Najib Razak,” katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.