Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos masih berada di Malaysia walaupun terdapat dakwaan beliau melarikan diri ke Indonesia, kata exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah.
Armand mengumumkan perkara itu ketika mencabut undi untuk Jamal ketika penamaan bagi pemilihan parti, dan menambah pemimpin Umno itu masih berhubung dengan bahagiannya.
“Beliau masih berada di Malaysia. Kita berdoa untuk keselamatan beliau,” kata Armand kepada pemberita.
Terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap pemimpin Baju Merah itu selepas melanggar ikat jamin.
Polis kini menyiasatnya berhubung sembilan dakwaan jenayah termasuk menggugat ketenteraman awam ekoran tindakannya memecahkan botol arak di luar bangunan SUK Selangor pada Oktober 2016.
Menurut Armand, Jamal mendakwa kerajaan baharu Pakatan Harapan melakukan penganiayaan berniat jahat.
“Beliau merasakan kerajaan melampaui batas tanpa mempraktikkan undang-undang sebenar. Mereka mengikut undang-undang rimba,” kata Armand.
Jamal layak bertanding untuk jawatan ketua Pemuda Umno kerana berdasarkan “track record” ketika beliau mengetuai Baju Merah menentang Bersih 2.0 di semua perhimpunan, kata Armand.
Tambahnya, Jamal tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah, membolehkan beliau bertanding untuk pemilihan parti.
Dalam posting berlainan, Jamal berkata beliau juga akan mempeertahankan jawatan ketua bahagian Sungai Besar.
Keberadaannya sejak 25 Mei masih belum jelas selepas melarikan diri daripada hospital di Ampang yang mana beliau ditahan ketika menunggu proses ikat jamin.
Antara yang turut bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno adalah timbalan ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun, bekas timbalan menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan ketua oenerangan Umno Taman Cempaka Syed Rosli Jamalullail Syed Harman. – Mkini