Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terbabit skandal perjanjian tanah “memerlukan audit forensik luaran untuk mencari puncanya”.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada beliau merujuk perjanjian tanah itu pada mesyuarat dengan pengurusan Felda hari ini.
“Mendapatkan penjelasan dari Datuk Ab Ghani Mohd Ali, ketua pengarah Felda mengenai pengurusan dan kedudukan kewangan Felda pagi ini,” katanya dalam Twitternya berserta gambar mesyuarat berkenaan.
Ini susulan satu lagi tweet “Azmin kepada Felda: Memenuhi piawaian tertinggi tadbir urus dan amalan terbaik. Kita memerlukan audit forensik luaran untuk mencari punca”.
Dilaporkan pada 21 Disember 2017, Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak dianggarkan bernilai RM200 juta berikutan dakwaan 4 transaksi jual beli yang meragukan.
Pemindahan tanah dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd memberikan surat kuasa wakil penuh kepada sebuah syarikat tempatan yang dilantik sebagai pemaju utama tanah berkenaan pada 3 Jun 2014.
Pada Mac 2018, Felda memperoleh semula semua 16 lot tanah di Jalan Semarak. – FMT