Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Ir Khalid Samad mahu polis mempercepatkan penahanan Ketua Gerakan Baju Merah, Jamal Yunus.
Katanya, ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu, tidak boleh dibiarkan bebas dan menerbitkan pelbagai pesanan video yang akan menyebabkan kerajaan Malaysia dipersoalkan oleh media antarabangsa serta para pelabur.
“Sehingga sekarang Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Jamal Yunos belum lagi diberkas pihak polis.
“Usaha harus dipergiatkan untuk menangkap Jamal sebab beliau masih angkuh dan menyindir pihak polis.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara seperti ini berterusan kerana ia akan menjejaskan imej Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pelabur asing mungkin juga akan ketawakan kita,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas isu berasingan, Khalid menggesa semua kakitangan kerajaan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat kerana mereka perlu mengubah mentaliti dan sedar bahawa rakyat adalah pembayar cukai dan membayar gaji mereka.
Khalid bersetuju terhadap kebimbangan perdana menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad bahawa terdapat segelintir kakitangan kerajaan masih setia kepada kerajaan BN dan mungkin tidak akan melakukan tugas sebaik-baiknya di bawah kerajaan baharu.
“Di Britain tidak menjadi hal untuk seseorang dari Parti Buruh bekerja untuk kerajaan dari Parti Konservatif.
“Memanglah di Malaysia ini kali pertama kerajaan pusat ditukar tetapi polisi Pakatan Harapan (PH) ialah kita akan berlaku adil kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Oleh itu, saya harap rakyat Malaysia sekarang akan mengenepikan fahaman politik demi kesejahteraan semua dan masa depan negara,” kata Khalid.
Beliau yakin Malaysia boleh mencapai kejayaan yang lebih cemerlang jika semua pihak bekerjasama.
“Setelah semua menteri kabinet mengangkat sumpah pada 2 Julai nanti, Kerajaan Persekutan Pakatan Harapan berharap masa depan akan lebih cerah kerana pelabur asing sedang memerhatikan kita dengan teliti.
“Semua pihak termasuk guru, polis, imigresen, kastam, jabatan pengurusan air, elektrik, komunikasi perlu berganding bahu untuk membawa Malaysia ke arah wawasan yang baharu supaya kita mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Pilihan raya umum sudah lama berlalu, sekarang adalah masa untuk memandang ke depan,” tambah Khalid