Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kembali ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangannya berhubung skandal 1MDB.
Riza yang semalam menjalani soal siasat selama sembilan jam, hari ini tiba sekitar pukul 3.05 petang tadi.
Dia dilihat keluar dari kenderaan yang dinaikinya dan berjalan memasuki bangunan SPRM di Putrajaya, mengelak daripada menjawab soalan media.
Riza menerajui Red Granite Pictures, syarikat produksi filem arahan Martin Scorsese The Wolf of Wall Street, yang turut dibintangi pemenang Oscar Leonardo DiCarprio.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa bahawa AS$64 juta diseleweng dari 1MDB telah diberikan kepada Red Granite bagi mendanai kos penerbitan beberapa filem Hollywood.
Jumlah berkenaan dikatakan merupakan sebahagian daripada wang AS$230 juta yang didakwa diseleweng dari 1MDB. DOJ percaya bahawa wang itu dipindahkan ke dalam akaun yang dikawal oleh Riza.
Syarikat berkenaan menegaskakan pihak mereka tidak tahu apa-apa tentang dana yang diseleweng untuk mendanai filem terbitan mereka.
Menurut DOJ, Riza sebelum ini mendakwa AS$94 juta dari dana 1MDB yang diterimanya adalah “hadiah”. – Mkini