Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata peruntukan yang diberikan kepada kementeriannya tidak mencukupi untuk menyelenggara jalan persekutuan di seluruh negara.
“Saya difahamkan peruntukan penyelenggaraan untuk semua lebuh raya persekutuan kalau mengikut anggaran kos untuk 1 tahun dalam RM2 bilion, tapi masalahnya kementerian hanya menerima RM6 hingga RM8 juta setahun.
“(Peruntukan itu) tidak cukup untuk kita turap semula jalan sebabnya setiap jalan persekutuan ini mesti diturap sekali setiap 6 hingga 7 tahun,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dua tahun lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya menyasarkan untuk memastikan semua jalan di bawah selenggaraannya “zero pothole” (sifar jalan berlubang) mulai tahun ini dengan usaha sudah dimulakan.
Katanya, antara usaha itu ialah menggerakkan pasukan audit untuk memantau keadaan jalan dan mengarahkan konsesi bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan dan memperbaiki kerosakan dengan segera.
Baru berkata, kementeriannya akan meminta peruntukan tambahan untuk menyelenggara jalan persekutuan menerusi bajet tahunan.
“Kita akan kemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab termasuk dalam bajet. Kita akan kemukakan. Saya difahamkan ini sudah diterangkan dari dahulu tapi (tetap ada masalah).” – FMT