Pelbagai perkara boleh dilakukan oleh kerajaan Umno-BN sekiranya mereka benar-benar ikhlas bukannya merampas tanah penduduk asal dan memberikannya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kelak projek pembangunannya akan disubkontrakkan kepada kroni Umno-BN.
Demikian tegas Penasihat Undang-undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru Zulhazmi Sharif. Katanya, Penduduk Kampung Baru bersetuju sekiranya kawasan mereka dizonkan semula mengikut Pelan Pembangunan KL 2020 tanpa mengusir pemilik tanah.
“Beberapa zon sedia ada dikekalkan seperti zon medan selera, zon komersial dan sebagainya. Kerajaan misalnya, boleh menaik taraf hub makanan di Jalan Raja Muda Musa. Mana-mana rumah penduduk yang berada dalam kawasan itu diberi tapak gantian di bahagian lain Kampung Baru. Begitu juga di kawasan komersial yang mana penduduk boleh dipindahkan asalkan kekal di Kampung Baru.
“Satu lagi pembangunan ialah menggalakkan usahawan Melayu membina bangunan komersial dan pemilik asal tanah diberi lot perniagaan atau sebagainya dalam bangunan tersebut. Pembangunan tersebut telah pun dilaksanakan oleh beberapa usahawan Melayu di beberapa tempat kawasan itu,” katanya.
Beliau bersama penduduk Kg Baru kesal dengan sikap Menteri Wilayah persekutuan dan kerajaan BN yang meluluskan akta pembangunan Kg Baru tanpa mengambil kira suara penduduk tempatan.
Selepas akta itu diluluskan status tanah di Kampung Baru bertukar dari tanah pertanian kepada Pusat Bandaraya Komersial (CCC), manakala penduduk pula terikat kepada kuasa pentadbiran perbadanan sebagaimana di Putrajaya. Pemilik tanah tidak boleh melakukan pembangunan mengikut keperluan mereka sedangkan pihak perbadanan mempunyai kuasa merampas mana-mana tanah dengan membayar gantirugi yang nilainya ditentukan oleh oleh pihak lembaga yang dilantik oleh menteri.Bagi Zulhazmi, apabila kuasa penuh berada di tangan menteri tentu sekali pengambil-alihan hartanah di kampung itu tidak boleh dihalang.
Sebelum itu Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor membidas akta Kg Baru yang disifatkan akan merampas hartanah milik penduduk Melayu di Kuala Lumpur
“Tidak mustahil yang kekal nanti hanyalah beberapa rumah-rumah asal penduduk untuk pelancongan dan Masjid Kampung Baru sahaja, sedangkan rumah-rumah lain dan premis perniagaan akan diroboh lalu digantikan dengan kondominum mewah serta lot-lot perniagaan bernilai tinggi untuk dijual kepada pelabur asing dari luar negara.“Lihat sahaja kawasan di sekeliling KLCC yang telah dibangunkan dengan unit-unit kondominium mewah yang majoritinya dimiliki dan dihuni oleh bukan warganegara. Warga tempatan khususnya orang-orang Melayu dipindahkan ke kawasan pinggiran pusat bandar,” ujarnya.