Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan Umno bertanding Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis atas nama parti bagi menilai sejauh mana penerimaan rakyat kepada parti Melayu itu.
Parti tunjang Barisan Nasional itu perlu mengambil jalan itu selepas rakyat menolak gabungan tersebut pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Beliau berkata PRK DUN Sungai Kandis perlu dilihat sebagai satu langkah dalam usaha mengubah Umno dan BN.
“Kita kena ubah Umno jadi produk baharu yang boleh dibeli, bukan produk yang basi. Begitu juga dengan BN, kena ada resipi baru untuk tarik sokongan rakyat.
“Mungkin kita boleh ‘test market’ di Sungai Kandis bertanding atas nama Umno bukan BN. Setuju atau tidak?,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di Shah Alam.
Ketika ditemui media selepas program, Mohamad berkata cadangannya itu akan dibincang dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Umno termasuk dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional.
“Kita nak bertanding atas tiket Umno atau BN itu kena bincang di peringkat BN,”katanya
Mohamad berkata Umno perlu berbincang dengan PAS dan parti-parti lain bagi memaksimumkan peluang pembangkang berdepan parti kerajaan dengan mengelakkan pertembungan 3 penjuru.
“Kita tahu PRU lepas kalau 3 penjuru kita banyak kalah. Tak untung sesiapa,” katanya.
Selain Mohamad, wacana itu menampilkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Terdahulu seorang penganalisis politik berpandangan pembangkang tidak perlu meletakkan calon pada PRK DUN Sungai Kandis dan memberikan kemenangan percuma kepada kerajaan.
Ini kerana pilihan raya umum ke-14 baru sahaja selesai kurang 3 bulan lalu dan sekarang masanya untuk “memulih dan membangunkan negara”.
“Berpolitik ini ada masa dan ketikanya, berpolitik sepanjang masa tidak elok,” kata Kamarul Zaman Yusoff.
Penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis akan diadakan pada 21 Julai ini dan hari pengundian pada 4 Ogos. Pilihan raya perlu dipanggil berikutan kematian Adun Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas kerana barah limfoma.
Bekas setiausaha politik bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan kerusi tersebut pada PRU lepas untuk penggal ke-3 dengan majoriti 12,480 undi mengalahkan calon BN, PAS dan PRM. – FMT