Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selamat menjalani pembedahan pintasan saluran jantung, semalam.
Pembantu khasnya, Muhasdey Muhamad mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, pembedahan itu mengambil masa hampir enam jam bermula 9 pagi di Hospital Pulau Pinang.
“Buat masa ini beliau masih diletakkan dalam pemantauan ketat doktor pakar di HPP.
“Pihak keluarga turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan dan kesembuhan untuk Datuk,” katanya.
Ahmad Zakiyuddin pada sebelum ini mengadu sakit dada semasa dalam perjalanan ke majlis hari raya di Kepala Batas pada Khamis lalu.
Beliau kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bandar Perda untuk mendapatkan rawatan.
Adun Pinang Tunggal itu kemudiannya terpaksa dipindahkan ke HPP pada hari yang sama.
Pada keesokkan harinya, beliau perlu menjalani ujian Angiogram bagi memeriksa saluran injap pada jantung.
Bagaimanapun, beliau perlu ditahan wad bagi memudahkan pegawai perubatan memantau keadaan kesihatannya.