Pihak pembangkang disarankan supaya tidak mudah latah dengan beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi PRU14 lalu.
Ia termasuklah beberapa pelantikan rasmi yang dilihat seolah-olah mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.
Pengerusi Pusat Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia, Azizan Salleh berkata, beliau percaya setiap tindakan itu merupakan strategi kerajaan Pakatan Harapan untuk membina masa depan negara yang lebih baik.
“Kalau kita nak cakap perkara negatif, macam-macam andaian kita boleh buat. Kononnya apabila Pakatan Harapan menang, bangsa lain yang menang.
“Perkara ini tidak tepat kerana mungkin mereka ada percaturan politik tersendiri. Contohnya pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang baharu.
“Ramai yang riuh kenapa lantik menteri kewangan daripada orang Cina. Tapi kita kena tengok juga kebaikan yang dia mampu buat sebagai seorang akauntan.
“Dia telah berjaya buktikan kemampuannya semasa menerajui Pulau Pinang pada sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, setiap lantikan rasmi yang dibuat adalah percaturan politik kerajaan Pakatan Harapan selepas BN mengalami kekalahan teruk.
“(Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad ada strategi sendiri, jangan kita mudah melatah,” katanya.