Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan akaun amanah di mana kerajaan memasukkan wang bayaran balik GST mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion.
Menurut Lim, wang itu hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan sepatutnya dikembalikan kepada peniaga 2 minggu selepas mereka memfailkan tuntutan.
“Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.
“Daripada jumlah itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 dan baki RM600 juta dari 2015.
“Baki yang tinggal dalam akaun ialah hanya RM1.486 bilion. Ingin saya tegaskan bahawa angka-angka ini telah disahkan selepas audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Kastam.”
Lim berkata dia dimaklumkan tunggakan itu berlaku kerana pentadbiran lepas gagal memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah itu.
“Membayar balik tunggakan bayaran balik cukai GST adalah ‘kemestian moral’ kerana wang tersebut bukanlah milikan kerajaan. Kelewatan pembayaran balik cukai ini menjejaskan suasana perniagaan dan memberi kesan negatif kepada daya saing negara.”
Beliau seterusnya menuduh kerajaan Barisan Nasional merompak akaun amanah itu kerana kutipan GST tidak dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk dimasukkan ke akaun tersebut.
“Kerajaan BN tidak boleh lari daripada pemalsuan akaun dan penyalahgunaan cukai input sebagai hasil kerajaan untuk menutup sebarang defisit perbelanjaan atau menyokong perbelanjaan pembangunan untuk kroni-kroni. Ini telah berlaku sejak 3 tahun GST diperkenalkan pada 1hb April 2015.
“Bak kata pepatah Melayu, harapkan pagar, pegar makan padi,” katanya. – FMT